SAO PAULO: Kehidupan Pele di luar padang sama naik dengan karier bola sepaknya, di mana dia memecah rekod dengan tiga perkahwinan dan menerima pelbagai penajaan bagi mengisi poketnya dengan wang.
Pele memperoleh jutaan ringgit dengan menyokong Visa dan Mastercard selain sandal yang dibuat daripada tayar kitar semula.
Dalam bukunya Sneaker Wars, Barbara Smit memperincikan bagaimana pada Piala Dunia 1970, Pele mencapai perjanjian dengan Puma yang akan memberinya AS$25,000 (RM110,325) ditambah AS$100,000 (RM441,300) untuk empat tahun berikutnya.
Tugas pertama Pele untuk mempromosikan Puma sudah bermula pada suku akhir menentang Brazil.
Dia yang memakai but Puma dengan sengaja meminta pengadil menghentikan jam ketika hendak memulakan perlawanan supaya boleh mengikat tali kasut kerana mengetahui semua mata tertumpu kepadanya.
Seperti yang dijangkakan, kamera menarik tumpuan kepada Pele dan but Puma tanpa tali, dengan itu dia mencipta apa yang dianggap promosi ‘tular’ pertama di dunia. Pele dikatakan dibayar AS$120,000 (RM528,660) hanya untuk adegan tali kasut.
Bagaimanapun, iklan paling mencuri tumpuan yang pernah disokong Pele apabila dia meminjamkan namanya untuk produk penawar mati pucuk, Viagra pada 2002, bagaimanapun Pele mendakwa bahawa dia tidak pernah menggunakan Viagra.
Pele sering ditonjolkan sebagai ‘selamat dan mesra korporat’ berbanding Diego Maradona yang kadangkala sukar diramal, namun kehidupan peribadi legenda Brazil itu penuh masalah.
Anak pertamanya Edinho, yang dilahirkan dua bulan selepas kejayaannya di Piala Dunia 1970 dan pada 2017, anaknya itu dijatuhi hukuman penjara lebih 12 tahun kerana mengedar dadah dan pengubahan wang haram.
Pada pertengahan liga pada 1970-an, Pele meninggalkan isteri pertamanya Rosemeri dos Reis Cholbi sejurus selepas tiba di Amerika Syarikat (AS).
Dia kemudian berbaik semula dengan Edinho yang juga bekas penjaga gol di Santos tetapi hubungannya dengan anak perempuan pertamanya lebih bermasalah.
Dia enggan mengakui Sandra Arantes do Nascimento, yang dilahirkan pada 1964 hasil hubungan sulit dengan seorang pembantu rumah, walaupun mahkamah Brazil memutuskan dia adalah anaknya pada 1996 selepas proses undang-undang selama lima tahun.
Pada usia lewat 70-an, Pele berkahwin buat kali ketiga pada 2016 dengan ahli perniagaan wanita berusia 42 tahun Marcia Aoki, mereka bertemu di New York pada 1980-an tetapi hanya mula berjumpa pada 2010 ketika bertemu di dalam lif di Sao Paulo.
Pele diingati dalam kalangan peminat filem bahasa Inggeris kerana peranannya sebagai Koperal Luis Fernandez dalam Escape to Victory, di mana sekumpulan tawanan perang cuba melarikan diri dari kem penjara Perang Dunia II Jerman.