Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pembunuh ‘sate beracun’ dipenjara 16 tahun

0

MAJLIS Hakim Pengadilan Negeri Bantul mengenakan hukuman penjara selama 16 tahun terhadap pesalah yang menghantar sate beracun dengan niat untuk membunuh bekas kekasihnya, Nani Aprilliani Nurjaman.

Kes itu menyaksikan Nani bersalah selepas sate beracun yang dihantarnya menggunakan perkhidmatan penghantaran pada 30 April lalu mengorbankan seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun.

Berdasarkan pertimbangan majlis hakim, perbuatan Nani memenuhi pendakwaan yang menyaksikan dia merancang pembunuhan dan akibatnya, orang lain yang tidak bersalah menjadi mangsa.

Ketua Majlis Hakim Bantul, Aminuddin berkata, wanita itu sudah merancang perbuatannya dengan mencari maklumat mengenai racun yang boleh digunakan untuk membunuh.

“Sebelum melaksanakan rancangan jahatnya, Nani sudah membeli racun secara dalam talian sebanyak tiga kali. hal itu jelas menunjukkan dia memang merancang untuk membunuh bekas teman lelakinya,” katanya.

Sebelum ini pendakwa raya memohon supaya wanita itu dihukum penjara selama 18 tahun, namun hakim mengurangkan tempoh itu dengan alasan Nani bersikap baik sepanjang ditahan, selain masih muda dan mempunyai masa depan.

“Nani tidak terlibat dengan sebarang jenayah sebelum ini dan dia juga sudah menyesali perbuatannya,” ujar Aminuddin.

Dalam pada itu, keluarga mangsa menyifatkan hukuman itu tidak setimpal dengan perbuatan Nani, namun terpaksa menerimanya dengan hati terbuka.

Ibu bapa mangsa dilihat menitiskan air mata ketika hakim membacakan keputusan hukuman terhadap Nani.

“Kami akan belajar menerima hukuman ini dengan seikhlas hati. Doakan kesejahteraan kami sekeluarga,” kata ibu bapa mangsa.

 

 246 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.