Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Pemimpin bersatu perjuangkan kepentingan Sabah

.. Isu SOP

0

KESATUAN pemimpin Sabah dan sokongan besar yang diterima oleh Ketua Menteri  berkenaan isu pelonggaran SOP untuk Sabah adalah permulaan baik yang diperlukan untuk menuntut perkara yang lebih besar.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan gembira apabila para pemimpin GRS sebulat suara menyokong cadangan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor untuk mengecualikan Sabah dari SOP yang kini dilaksanakan di Semenanjung dan menggunakan SOP yang lebih liberal untuk Sabah.

“Kesatuan ini menunjukkan bahawa kita boleh bekerjasama untuk mengutarakan tuntutan kita. Dalam hal kepentingan bersama, orang Sabah akan bersatu, tanpa mengira parti politik atau ideologi.

“Kepentingan bersama ini tidak terhad kepada SOP pengendalian COVID-19 sahaja. Dalam konteks Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kita semua mempunyai kepentingan bersama, dan saya yakin kerajaan ini akan berjuang sepenuh hati untuk hak-hak Sabah dan rakyatnya, ”katanya.

Menjelaskan keperluan perbincangan dengan Putrajaya mengenai SOP untuk Sabah, Kitingan berkata pada masa ini, undang-undang tidak jelas kerana hal ehwal kesihatan awam antara Persekutuan dan negeri adalah selaras.

Masalah yang dihadapi oleh Sabah sekarang adalah kerana kegagalan menjelaskan secara terperinci bidang kuasa di bawah kesihatan awam kerana tidak mempunyai undang-undang sendiri berkaitam perkara ini.

“Kita memerlukan undang-undang untuk menyokong kita. Kita perlu mengukuhkan undang-undang kita.

Kita mempunyai hak perlembagaan untuk mengendalikan SOP kita sendiri. Namun, kita perlu memperkukuhkannya terlebih dahulu kerana pada masa ini, ianya tidak jelas, ”katanya.

Kitingan menjelaskan bahawa, walaupun kesihatan awam berada dalam senarai pengurusan kedua pihak,  hanya pihak persekutuan yang membuat undang-undang, sementara Sabah tidak.Ini bermaksud hanya undang-undang persekutuan yang mempunyai kuasa pada masa ini, inilah sebabnya mengapa ada keperluan perbincangan agar SOP dilonggarkan untuk Sabah.

“Jika kita meluluskan suatu enakmen, misalnya, dalam situasi pandemik, Sabah dapat melakukan beberapa perkara, justeru itu kita dapat melaksanakan enakmen tersebut dengan menggunakan kuasa bersama” katanya.

Mengulas mengenai pernyataan Raja untuk mengadakan Sidang Parlimen sebelum 1 Ogos, Kitingan mengatakan bahawa dia secara peribadi tidak keberatan jika parlimen bersidang dalam masa terdekat ini.

Apatahlagi, katanya Yang Dipertuan Agong hanya bertindak mengikut nasihat perdana menteri dan kabinet persekutuan sekarang.

“Apa yang saya bimbang ialah kesannya kepada perjuangan negara melawan Covid-19.

Bagi saya persidangan parlimen secara maya adalah yang terbaik buat masa ini. Terdapat  juga cadangan untuk mengadakan sesi parlimen hibrid, dan saya setuju dengan ini.

“Pada masa yang sama, saya juga berpendapat bahawa darurat harus ditamatkan kerana darurat ini dilaksanakan untuk mengelakkan campur tangan politik.

Jika tidak, persidangan parlimen ini secara langsung  menjadikan darurat tidak terpakai lagi, ” beliau menamatkan perbualan.

 

 237 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.