Bangunkan sistem rawatan terpencil atasi kemelut air kawasan pedalaman — Prof Ir Dr. Rosalam
.. tambah muka sauk atasi enap cemar pepajal

BILA isu air di Sabah akan selesai? Isu bekalan air terawat di Sabah hanya akan selesai setelah titik pengambilan air atau muka sauk ditambah baik bagi mengatasi masalah enap cemar pepejal terampai yang tinggi semasa musim hujan dan pengurangan kadar kehilangan air yang tinggi pada sistem agihan (NRW) yang kini melebihi 50%.
Ia boleh dilakukan menerusi pembinaan kolam atau empangan sebagai takungan enap cemar pada titik muka sauk, polisi kerja-kerja saluran agihan air yang lebih ketat yang mewajibkan/mengutamakan kompetensi pekerja bagi kerja-kerja penyambungan dan baik pulih paip, pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang untuk mengelak penyambungan haram, penggantian saluran paip yang bermasalah dan telah usang secara berjadual, dan pembinaan lebih banyak tangkitangki penstabil tekanan di sepanjang saluran paip utama.
Bagi bekalan air terawat ke kawasan-kawasan terpencil, sistem rawatan terpencil mesti dibangunkan bagi mengurangkan kos pemasangan paip yang terlalu jauh, kehilangan tekanan sepanjang laluan, isu kebocoran, dan kos penyelenggaraan sistem agihan yang tinggi. Di kawasan-kawasan terpencil, terdapat banyak sumber bekalan air bersih khususnya aliran sungai dan air bawah tanah yang memerlukan rawatan yang ringkas dengan hanya menggunakan penapis pasir tanpa penggunaan bahan kimia pemendak. Sistem secara terpencil ini akan dapat mengurangkan kos agihan air kerana tidak memerlukan paip-paip yang boleh menampung tekanan tinggi digunakan.
Sabah merupakan kawasan yang dikurniakan dengan limpahan sumber air tawar, namun isu ketiadaan dan putus bekalan air terawat adalah isu berlarutan. Faktor utama yang menyumbang kepada masalah air terawat adalah bentuk mukabumi yang berbukit bukau dan taburan penduduk yang berselerak, dan isu pencemaran sumber bekalan air disebabkan oleh penerokaan kawasan hutan yang menjadi tadahan hujan.
Secara umumnya, isu ketiadaan air terawat berpunca kerana sistem pengurusan air yang lemah. Pengurusan air huluan merangkumi pemantauan dan penguatkuasaan kawalan penjagaan sumber air tawar, perancangan pembinaan muka sauk tidak mengambil kira perubahan dari segi kualiti air tawar yang sering tercemar disebabkan oleh aktiviti penerokaan hutan dan perindustrian.
Sistem bekalan air berpusat dan jaringan bekalan air di seluruh Sabah berkembang pesat sekitar penghujung tahun 1980 seiring dengan penubuhan Jabatan Bekalan Air Negeri Sabah pada 1988. Pada masa tersebut, penerokaan hutan dan aktiviti pembukaan ladang kelapa sawit secara besar-besaran juga berkembang pesat. Tetapi, kolam takungan air enap cemar tidak di bina di kebanyakan titik pengambilan air atau muka sauk sebagai respon kepada penerokaan kawasan hutan besar-besaran. Kesannya, sehingga ke hari ini loji-loji air di Seluruh Sabah bermasalah semasa musim hujan.
Ketiadaan kolam takungan enap cemar menyebabkan pam air muka sauk mudah rosak disebabkan oleh kandungan keladak dan pasir yang tinggi. Di peringkat loji rawatan pula, kandungan keladak memberi bebanan tinggi yang menyebabkan kecekapan loji berkurangan. Malah penggunaan bahan kimia yang menjadi agen pemendakan pepejal terampai meningkat dan operasi pembersihan tangki-tangki rawatan dan takungan pada loji juga mesti dilakukan lebih kerap. Kerosakan pada pam dan penapis juga lebih kerap terjadi.
Air adalah kehidupan. Semua makhluk yang ada di muka bumi ini bermula daripada air. Badan manusia itu sendiri mengandungi sekitar 70% air. Sebab itu air amat penting dalam kehidupan. Sungguhpun air meliputi sekitar 70% bumi dengan jumlah isipadu air di Bumi dianggarkan sekitar 1.386 bilion km³, 97.5% adalah air masin dan hanya 2.5% adalah air tawar. Taburan air tawar pula tidak sekata menyebabkan terdapat sebahagian besar kawasan mengalami kekurangan air untuk keperluan harian. – Oleh: PROF Ir. DR. ROSALAM SARBATLY.