BERMULA dengan angan-angan, akhirnya impian empat sekawan untuk menubuhkan sebuah persatuan kebajikan menjadi kenyataan.
Menamakan persatuan itu Pensusuladan, pengerusinya Eligius Raymond berkata ia adalah platform terbaik untuk mendekatkan diri dengan masyarakat secara menyeluruh.
Pensusuladan diasaskan di Kg. Liau Laut, Keningau, Sabah Malaysia dan bersedia menghulurkan bantuan kepada masyarakat yang sedang dihimpit dengan kesusahan di daerah itu.
“Sudah lama impian menubuhkan persatuan atau sekurang-kurangnya kumpulan .. sudah banyak kali dibincangkan melalui pertemuan tidak rasmi .. hati ini benar-benar terpanggil untuk berbakti kepada masyarakat,”
“Sejak tahun 2018 impian ini tersemat dalam impian .. saya mahu berbakti kepada masyarakat, merapatkan keluarga yang terpisah dan jauh daripada itu impian meringankan bebanan orang yang sedang bertarung dengan kesusahan begitu dekat di hati,”
“Pensusuladan akhirnya menjadi kenyataan pada 31 Ogos 2018 .. saya bersama Eppo Juki, Jenny Engsong dan Hardy Poulus untuk menjadikan angan-angan itu menjadi realiti,” Kata Eligius kepada The Borneo Digest.
Eligius berkata, bantuan yang mereka salurkan kepada sasaran adalah hasil daripada sumbangan ikhlas daripada ahli-ahli yang kini seramai 69 orang.
“Pensusuladan fokus kepada mereka yang terpinggir dan kurang berkemampuan seperti keluarga yang kehilangan anggota disebabkan kematian, ibu tunggal dan anak yatim,” Tambahnya dan memberitahu, persatuan itu dalam proses pendaftaran ke Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Mengenai sumbangan, Eligius berkata, sejak ditubuhkan Pensusuladan berjaya menghulurkan bantuan kepada keluarga atau individu yang memerlukan dan yang terbaru menghulurkan bantuan kepada tiga keluarga yang kehilangan anggota kerana kematian di Kg. Labak Baru.
“Dalam minggu ini sahaja kami telah memberi sumbangan kepada keluarga Mendiang John Samih, Mendiang Jurinah Yupin dan Mendiang Francis Pulang yang kesemuanya di Kg. Labak Baru,”.
“Hari ini (Selesa) adalah upacara buka pantang dan kami berada di situ,” Katanya. – Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA