KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia) 3 September 2025 — Pergerakan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) menyatakan sokongan penuh terhadap suara akar umbi di semua bahagian parti yang mahu penggunaan logo sendiri dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17), sebagai strategi memperkukuh identiti politik UPKO di Sabah.
Setiausaha Pemuda UPKO Nasional, Rexie Gubat, menegaskan langkah itu selari dengan aspirasi rakyat Sabah yang mahukan parti tempatan tampil dengan jati diri yang jelas.
“UPKO adalah satu-satunya parti tempatan dalam Pakatan Harapan (PH). Maka, penggunaan logo sendiri adalah langkah praktikal untuk memperkukuh keyakinan rakyat bahawa perjuangan kami berpaksikan Sabah.
“Dengan logo sendiri, UPKO lebih bebas bersuara mengenai isu-isu hak negeri tanpa dilihat terikat secara sempit. Identiti ini penting untuk menegaskan bahawa Sabah mesti dibela oleh anak Sabah sendiri,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Rexie menambah, biarpun menggunakan logo sendiri, UPKO tetap komited mengekalkan kerjasama strategik bersama rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Dari sudut komunikasi politik, katanya, penggunaan logo sendiri juga akan memperkukuh jenama UPKO di mata rakyat Sabah.
“Logo adalah identiti, dan identiti itu membawa mesej. Dengan logo UPKO, rakyat tahu inilah parti tempatan yang konsisten memperjuangkan suara mereka di Dewan Undangan Negeri (DUN) mahupun Parlimen.
“Kita mahu pastikan suara Sabah terus didengar dan dihormati,” ujarnya.
Rexie yang juga Timbalan Ketua Bahagian Ranau optimis bahawa dengan menampilkan identiti sendiri, sambil terus berada dalam gabungan nasional, UPKO mampu mengimbangi kepentingan Sabah dengan akses kepada kuasa di Putrajaya.
![]()