Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

RMK-13: KUSKOP Angkat PMKS & Koperasi Sebagai Enjin Baharu Ekonomi Negara

0

Oleh Mohd Khairy Abdullah @ DG Henry

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bakal menyaksikan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi diangkat sebagai enjin baharu ekonomi negara, dengan tumpuan khusus pada penskalaan digital, pembangunan produk tempatan, dan pemerkasaan sektor ketiga.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, ketika menggulung perbahasan RMK-13 di Dewan Negara hari ini, menegaskan bahawa kementeriannya akan memainkan peranan sebagai peneraju utama dalam melahirkan usahawan tempatan berdaya tahan, inovatif dan berdaya saing di pasaran global.

“Prestasi PMKS sepanjang 2024 membuktikan potensi luar biasa – menyumbang RM652.4 bilion kepada KDNK, melonjakkan eksport sebanyak 31.3 peratus, serta menyediakan 8.1 juta pekerjaan. Angka ini jelas membuktikan PMKS adalah tulang belakang sebenar ekonomi negara,” katanya.

Sehingga Julai 2025, lebih 237,000 usahawan dan koperasi telah menerima pembiayaan berjumlah RM6.32 bilion melalui agensi di bawah KUSKOP seperti TEKUN Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Pernas dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia.

Menjawab isu digitalisasi yang dibangkitkan Ahli Dewan Negara, Ewon menegaskan KUSKOP agresif melaksanakan program yang benar-benar dekat dengan denyut nadi usahawan – termasuk Studio TikTok Shop TEKUN Nasional, Skim Pembiayaan Online TEKUN (SPOT), platform pemasaran percuma MyMall, serta inisiatif pasar tanpa tunai Jajahan Rakyat oleh Bank Rakyat.

“Di Penampang sahaja, projek rintis Studio Live TikTok Shop berjaya melibatkan 70 usahawan, 200 jam siaran langsung, 1.7 juta tontonan dan jualan bernilai RM40,000. Ini bukti digitalisasi bukan lagi pilihan, tetapi keperluan,” tegasnya.

Cadangan supaya Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) ditransformasi ke arah Satu Mukim Satu Industri turut mendapat perhatian. Menurut Ewon, KUSKOP sedang menilai pendekatan lebih inklusif ini bagi membolehkan industri kecil komuniti setempat berkembang secara tersusun.

Setakat ini, sebanyak 22 produk SDSI telah berjaya didaftarkan di bawah RMK-12, dengan kebanyakan usahawan menikmati lonjakan jualan melebihi 20 peratus. Showcase dan karnival SDSI di Kuala Lumpur dan Terengganu tahun ini turut menghubungkan usahawan tempatan dengan pasaran luar negara.

Mengulas cadangan mengurangkan kebergantungan kepada produk import, Ewon menegaskan RMK-13 memberi ruang lebih besar kepada produk buatan tempatan.

Antara inisiatif utama termasuk Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan (BAP) oleh SME Corp dan bimbingan pembangunan produk oleh INSKEN. “Malaysia MADANI menuntut kita percaya kepada kualiti tempatan. KUSKOP mahu pastikan produk kita mampu bersaing di rak-rak antarabangsa,” katanya.

Ewon turut memberi jaminan usahawan kecil, khususnya di jajaran East Coast Rail Link (ECRL), tidak akan diketepikan. TEKUN Nasional dan AIM akan menyediakan pembiayaan mikro sehingga RM100,000 untuk peniaga kampung memanfaatkan peluang di stesen ECRL, manakala INSKEN menyediakan kursus asas keusahawanan.

Bagi sektor koperasi, angka semasa amat signifikan – 16,284 koperasi berdaftar, 7.2 juta anggota, aset berjumlah RM173 bilion dan perolehan RM68 bilion.

KUSKOP kini bergerak di bawah TransKoM 2021-2025 dan Dasar Koperasi Malaysia 2030, dengan fokus meliberalisasi undang-undang koperasi, memperkukuh sektor strategik seperti pertanian dan pelancongan, serta memperkenalkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi (DigiKOP) 2030.

Antara langkah besar yang dirancang termasuk penubuhan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM) bagi melahirkan graduan berkemahiran tinggi dalam bidang pengurusan koperasi dan keusahawanan.Mengakhiri ucapannya, Ewon menegaskan RMK-13 bukan sahaja pelan pembangunan ekonomi, tetapi wadah memperkukuh Malaysia MADANI melalui pendekatan inklusif yang memberi peluang sama rata kepada semua peringkat usahawan.

“KUSKOP akan kekal sebagai pemangkin – memastikan PMKS, koperasi, perusahaan sosial dan perniagaan inklusif menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, adil dan sejahtera untuk rakyat,” katanya.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.