BAT YAM, Israel/DUBAI/WASHINGTON: Serangan Israel dan Iran mengorbankan dan mencederakan orang awam sekali gus menimbulkan kebimbangan konflik yang lebih meluas di rantau itu, apabila kedua-dua pihak tentera menggesa orang awam di wilayah lawan agar mengambil langkah berjaga-jaga daripada serangan susulan.
Canselor Jerman, Friedrich Merz, berkata beliau berharap Mesyuarat Pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada semalam akan mencapai kata sepakat bagi membantu menyelesaikan konflik berkenaan dan mengelakkannya daripada terus berlarutan.
Iran memaklumkan kepada perantara dari Qatar dan Oman bahawa mereka tidak bersedia untuk berunding mengenai gencatan senjata dengan Amerika Syarikat (AS) selagi negara itu masih diserang oleh Israel, menurut sumber pegawai yang mempunyai maklumat kepada Reuters, semalam.
Tentera Israel yang memulakan serangan pada Jumaat lalu dengan matlamat untuk melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran, memberi amaran kepada rakyat Iran yang tinggal berhampiran kemudahan senjata supaya berpindah serta-merta.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, berkata Iran akan membayar harga yang mahal atas pembunuhan orang awam, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Dalam pada itu, tentera Iran pula menggesa penduduk Israel supaya meninggalkan kawasan utama bagi menjamin keselamatan mereka.
Beberapa siri letupan menggegarkan Tel Aviv pada waktu petang apabila Iran melancarkan serangan peluru berpandu waktu siang pertamanya sejak Israel melancarkan serangan pada Jumaat lalu.
Menurut pihak berkuasa Israel, sekurang-kurangnya 10 orang termasuk kanak-kanak terkorban setakat ini.
Beberapa jam kemudian, sejurus selepas waktu malam, Iran melancarkan gelombang kedua peluru berpandu yang mengenai sebuah kawasan perumahan di Haifa, Israel.
Perkhidmatan kecemasan negara melaporkan sembilan orang cedera dalam serangan itu, selain dua lagi dalam insiden peluru berpandu yang disasarkan di selatan Israel.
Semalam, di Bat Yam, penduduk meninjau kawasan yang musnah akibat serangan pada malam sebelumnya, manakala ramai lagi di seluruh Israel bersiap sedia untuk segala kemungkinan jika diserang.
Penduduk, Shem, 29, berkata kejadian itu sangat menakutkan dan bukan sesuatu yang menyeronokkan kerana ramai yang kehilangan nyawa. – REUTERS
![]()