Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Politik Thailand berdepan kebuntuan, masih tiada PM baharu

0

BANGKOK: Mahkamah Perlembagaan Thailand menangguhkan keputusan bagi kes yang mencabar keengganan Parlimen membenarkan pemenang pilihan raya, Pita Limjaroenrat mendapat peluang kedua untuk menjadi Perdana Menteri.

Tindakan itu memanjangkan lagi kebuntuan politik Thailand, hampir tiga bulan selepas pilihan raya yang mengetepikan parti berkaitan tentera, yang memerintah selama hampir sedekad, dengan parti progresif bergelut untuk mengatasi tentangan daripada kuasa konservatif di Senat.

Pita, pemimpin Parti Move Forward (MFP) memenangi kerusi terbanyak pada pilihan raya Mei lalu, ditolak sebagai Perdana Menteri dalam undian bersama kedua-dua dewan parlimen bulan lalu, kemudian dinafikan peluang untuk dicalonkan semula seminggu kemudian.

Badan pemantau kerajaan merujuk keputusan itu kepada mahkamah bagi menentukan sama ada ia selaras dengan Perlembagaan.

Mahkamah, hari ini, berkata ia memerlukan lebih banyak masa dan bukti untuk memutuskan sama ada untuk menerima kes itu dan akan mempertimbang pada 16 Ogos ini.

“Mahkamah Perlembagaan menganggap permintaan itu memerlukan pertimbangan yang menyeluruh kerana membabitkan prinsip pentadbiran dalam sistem raja berperlembagaan.

“Jadi, mahkamah memutuskan untuk menangguhkan perbincangan bagi mengkaji lebih banyak maklumat,” katanya dalam satu kenyataan.

Speaker Dewan Rakyat, Wan Muhamad Noor Matha, berkata undian ketiga untuk Perdana Menteri yang dijadualkan esok, kini perlu ditangguh.

“Undi untuk perdana menteri esok ditangguhkan. Kita perlu menunggu keputusan Mahkamah Perlembagaan pada 16 Ogos,” katanya kepada media.

Semalam Parti Pheu Thai, parti kedua terbesar di Dewan Rakyat Thailand semalam mengumumkan gabungan baharu untuk membentuk kerajaan, tanpa MFP.

Pheu Thai yang memenangi 141 kerusi dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 14 Mei, berkata parti itu akan mencalonkan usahawan hartanah Srettha Thavisin sebagai Perdana Menteri.

Ketuanya, Cholnan Srikaew, berkata pada mesyuarat yang berlangsung semalam, parti itu berunding dengan MFP yang memenangi 151 kerusi supaya parti itu menarik diri. – AFP

 195 total views,  3 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.