JUMLAH korban akibat insiden tanah runtuh yang berlaku di bandar Petropolis meningkat kepada 122 orang dan pihak berkuasa menjangkakan angka itu bakal bertambah dari semasa ke semasa.
Ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan, pengurusan rumah mayat terpaksa menggunakan trak yang dilengkapi dengan peti sejuk untuk menyimpan mayat mangsa yang yang semakin bertambah.
“Kami terpaksa bekerja dalam keadaan rumit apabila tiada sistem pencahayaan yang lengkap, dan struktur tanah yang tidak rata serta boleh runtuh pada bila-bila masa.
“Namun, kami tetap akan teruskan operasi SAR bagi mencari mangsa,” kata Ketua Jabatan Pertahanan Awam Brazil, Leandro Monteiro.
Lebih 500 anggota keselamatan, dibantu dengan keluarga mangsa dan penduduk tempatan masih bertungkus-lumus mencari mangsa yang terselamat.
Berdasarkan kiraan awal, sebanyak 35 orang hilang dalam insiden itu dengan sekurang-kurangnya 13 kanak-kanak terkorban.
“Saya sudah tinggal di sini selama 44 tahun dan tidak pernah menyaksikan kejadian seperti ini. Semua rakan saya sudah tiada, mereka sudah mati tertimbus tanah,” kata penduduk tempatan, Maria Jose Dante Araujo.
Tanah runtuh itu diakibatkan oleh curahan hujan luar biasa yang direkodkan pada bulan ini.
Hujan lebat itu juga menyebabkan banjir yang menghanyutkan banyak kenderaan dan merosakkan kediaman.
Hujan itu disifatkan paling lebat pernah berlaku di Petropolis sejak 1932, menyaksikan lebih 420 penduduk terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan mendapatkan perlindungan di pusat pemindahan sementara.
Pusat ramalan cuaca menjangkakan hujan akan terus turun dan bekalan elektrik masih belum dapat disambung sepenuhnya. – REUTERS