Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Remaja warga asing mati ditikam di Tawau

0

TAWAU (Sabah, Malaysia): Gara-gara marah anak buah ditangkap berkhalwat, seorang ramaja warga asing mati ditikam.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus, mangsa dikenali sebagai Mahmud Kurniawan, 16, maut selepas ditikam di bahagian leher dan perut dengan menggunakan pisau ketika cuba membantu rakannya yang terlibat dalam satu pergaduhan dengan seorang lelaki di sebuah rumah pekerja di Gudang Rara, Ladang Imbak, Jalan Kalabakan subuh pada Isnin.

Rakan mangsa, yang dikenali sebagai Isra Kurniawan, 15, juga cedera dalam pergaduhan itu dan sedang menerima rawatan di Hospital Besar Tawau.

Seorang warga asing berumur 20 tahun yang merupakan suspek kejadian itu sedang diburu polis untuk membantu siasatan.

Polis bergegas ke lokasi kejadian kira-kira jam 5 pagi pada Isnin selepas mendapat makluman daripada orang ramai, namum suspek utama telah melarikan diri.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Dalam perkembangan lain, Fadil berkata jenayah indeks di Tawau meningkat sebanyak 60 peratus atau peningkatan sebanyak 53 kes daripada Januari hingga semalam berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, sebanyak 141 kes jenayah dilapor pada Januari tahun ini hingga semalam berbanding hanya 88 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas dan kes jenayah harta benda termasuk curi kenderaan dan pecah rumah adalah penyumbang utama kepada peningkatan jenayah indeks itu.

Katanya polis akan melaksanakan Operasi Agresif sebagai strategi membanteras jenayah dan dadah yang menjadi antara fokus jabatan itu.

Sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pasukan tahun ini ialah penyelesaian kes sebanyak 30 peratus dan pertuduhan kes sebanyak 20 peratus, katanya.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.