NAIB Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Sabahstar) Datuk Robert Tawik @ Nordin menyokong penuh tindakan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika menyelar Kementerian Kewangan Sabah yang menarik semula kuasa Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menyelia jalanraya di negeri ini.
Bung Moktar dipetik sebagai berkata, bahawa beliau merasa pelik dengan pemindahan kuasa itu pada ketika Kementerian Kewangan sendiri tidak memiliki jurutera berbanding JKR.
Bung juga tidak berpuas hati dengan apa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kewangan berhubung penganugerahan kerja-kerja naik taraf jalan MCDC (Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah).
Robert berkata, apa yang Bung Moktar jelaskan itu adalah tepat dan sewajarnya panduan kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji untuk mengkaji semula keputusan itu sebaliknya mengekalkan JKR sebagai entiti berkuasa mengenai hal-ehwal jalan raya di negeri ini.
“JKR mempunyai ramai jurutera yang memiliki kepakaran dalam bidang kejuruteraan .. JKR telah melakukan tugas ini sejak sekian lama,”.
“JKR mampu mengurus perlaksanaan jalan raya yang lebih baik dan berkualiti,” Kataya dalam satu kenyataan di sini.
Robert yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bingkor mahu supaya Ketua Menteri Sabah meneliti cadangan Bung Moktar dan beliau sendiri dalam sudut positif ke arah membangunkan negeri Sabah.
Beliau juga mahu supaya Ketua Menteri Sabah menarik semula surat penarikan kuasa kepada JKR, dan surat pemindahan kuasa kepada Kementerian Kewangan Sabah.
“Jadikan pengalaman lalu sebagai satu iktibar apabila banyak kerja-kerja pembinaan dan penyelanggaraan tidak menepati piawaian,” Katanya.