LEBIH baik mati daripada hidup di lutut. Perjuangan manusia menentang covid19 masih jauh daripada kejayaan.
Namun manusia telah dilahirkan sebagai makhluk terbaik yang menjadi khalifah di muka bumi Allah ini mesti terus berjuang untuk menang untuk membebaskan diri daripada dugaan cengkaman makhluk kecil yang mampu meragut nyawa manusia.
Mereka yang cukup sifat tetapi gagal mematuhi SOP yang telah ditetapkan adalah antara golongan yang sudah lari dari asas perjuangan. Golongan ini sepatutnya dikenakan tindakan tegas tanpa sebarang belas kasihan.
Pandemik covid19 sudah merebak dikalangan masyarakat bandar dan luar bandar. Banyak kawasan-kawasan hijau sudah berubah menjadi merah.
Jumlah jangkitan dan kematian meningkat dengan mendadak setiap kali selepas perayaan berakhir meskipun hampir kesemua lapisan masyarakat sudah mengetahui bahaya jangkitan virus covid19 dan SOP langkah-
langkah yang perlu diambil bagi memutuskan rantaian jangkitan. Setakat awal Jun 2021, jumlah jangkitan adalah sebanyak 558,534 kes dengan jumlah kematian sebanyak 2,650 iaitu sekitar 0.47%. Sebagai respon, pihak kerajaan telah mewartakan perintah kawalan pergerakan 3.0 (PKP 3.0) bermula 01 Jun 2021 dan akan disemak semula selepas dua minggu berakhir.
Peningkatan jangkitan secara mendadak dan pewartaan PKP 3.0 memberi tekanan kepada ekonomi negara dan terus merobek pendapatan rakyat secara keseluruhannya.
Kelompok yang paling terkesan adalah mereka yang berpendapatan rendah dan tidak mempunyai pekerjaan tetap seperti peniaga-peniaga kecil dan pekerja-pekerja kontrak yang terpaksa diberhentikan atas arahan pengurangan kapasiti kehadiran pekerja ke permis-permis perniagaan.
Selain kumpulan barisan hadapan, kumpulan-kumpulan yang terkesan dengan perintah kawalan pergerakan merupakan golongan pejuang yang perlu dibantu bagi mengangkat semangat mereka untuk terus kekal dalam perjuangan.
Tanggungjawab membantu bukan hanya terletak dibahu pihak kerajaan, sebaliknya keseluruhan masyarakat perlu turut serta berkorban dalam menghadapi perjuangan menentang covid19 yang belum selesai.
Pengumuman pemotongan elaun-elaun pekerja-pekerja sektor awam adalah langkah tepat. Di harapkan sektor swasta akan mengikuti langkah yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan khususnya dikalangan mereka yang berpendapatan tinggi dan tetap.
Bagaimanapun, hasil kutipan yang terkumpul mesti disalurkan kepada usaha memerangi covid19 khususnya membantu golongan yang amat terkesan dengan perintah kawalan pergerakan.
Kaedah bantuan paling berkesan adalah dengan menyegerakan proses vaksinasi dikalangan masyarakat. Buat masa ini, proses vaksinasi dilihat bergerak amat perlahan dan setakat ini hanya sekitar 3.1% lengkap di vaksin.
Sabah adalah antara yang tercorot dengan jumlah yang telah di vaksin hanya sekitar 74 ribu berbanding 3.9 juta penduduk. Di UK, sudah melebihi daripada 39 juta orang telah mendapat dos vaksin pertama iaitu hampir 75% daripada populasi orang dewasa dan lebih daripada 25 juta telah mendapat dos kedua. – Oleh: Prof. Ir Dr. Rosalam Sarbatly (University Malaysia Sabah)