HOUSTON: Sebuah kapal angkasa milik syarikat SpaceX yang dalam ujian penerbangan, dilaporkan meletup selepas beberapa minit dilancarkan.
Starship merupakan roket paling berkuasa pernah dibina, selain direka khas untuk menghantar kru angkasawan ke Bulan dan misi lain.
Roket itu bagaimanapun diuji tanpa anak kapal dalam ujian penerbangan tersebut.
Ia merupakan ujian penerbangan pertama Starship yang dipasang atas roket baharu syarikat itu, Super Heavy.
Roket Super Heavy yang membawa kapal angkasa Starship dilancarkan dari tapak pelancaran Starbase di Boca Chica, berdekatan Brownsville, Texas.
Siaran langsung menerusi laman sesawang SpaceX menunjukkan roket tersebut berjaya dilancarkan ke udara, dengan iringan sorakan para kakitangannya.
Namun, kira-kira empat minit selepas pelancaran, Starship dilihat gagal dipisahkan dari Super Heavy sebelum roket gabungan itu mula terpesong arah lalu meletup di ruang udara dan terhempas ke perairan Teluk Mexico.
Sementara itu, syarikat SpaceX memaklumkan kapal angkasa itu mencapai ketinggian kira-kira 39 kilometer (km) sebelum meletup.
Jelasnya, roket itu juga mencapai titik pelancaran kritikal tekanan aerodinamik maksimum sebelum hilang kawalan.
Bagaimanapun, pegawai SpaceX mengisytiharkan misi pelancaran itu sebagai ujian penerbangan yang berjaya. – AFP/REUTERS