Pengasplan jalan rentas Sinaron – Tongod mula Julai ini – Datuk Arthur
memendekkan perjalanan dari Sook ke Tongod sejauh 410km ke 104km
IMPIAN beribu penduduk yang berdoa berpuluh tahun agar pengaspalan jalanraya rentas Trusmadi – Tongod akhinya termakbul apabila projek sejauh 40km itu bermula bila-bila masa pada bulan ini (Julai 2021).
Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Arthur Tan Sri Joseph Kurup ketika mengumumkan berita baik itu berkata, kerja pengaspalan jalan dari Kg. Sinaron ke Kg. Linayukan Tongod kini menjadi realiti.
“Projek ini telah diluluskan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada tahun 2017, tetapi tergendala atas beberapa sebab selepas pilihanraya tahun 2018,”
“Apabila saya dilantik ke dalam kementerian ekonomi pada tahun lalu, saya telah berusaha untuk menyambung balik projek ini dan syukur kerana usaha ini telah berjaya,” Umum Arthur dalam hantaran Facebooknya.
Arthur berkata, Jalan itu sepanjang 40km dan melibatkan pembinaan 7 jambatan konkrit. Pembinaannya dijangka akan mengambil masa selama 36 bulan.
Apabila jalan ini sudah siap ia akan mengurangkan masa perjalanan dari Sook ke Tongod dari 410km (Sook – Keningau – Tambunan – Ranau – Tongod) ke hanya 104km.
Jalan ini akan memberi manfaat kepada sebanyak 15 buah kampung yang antara kampung di kawasan Sook yang akan menikmati penaiktarafan jalan ini adalah Kg. Menggerimot, Kg. Sinaron, dan Kg. Sinaron Tengah.
Tambahnya, pembukaan laluan baru itu akan memberi limpahan ekonomi kepada seluruh kawasan Sook, Tulid dan Keningau.
Arthur yang merupakan Wakil Rakyat Parlimen bagi Pensiangan memberitahu, projek jalan rentas Trusmadi – Tongod itu merupakan kesinambungan perancangan pembangunan jalan raya dalam fasa seterusnya selepas Jalan Sook – Sinua telah siap diaspal beberapa tahun yang lalu ketika ayahnya Tan Sri Joseph Kurup wakil rakyat di kawasan itu.
Katanya, pembinaan jalan ini akan merealisasikan perancangan beliau sebagai wakil rakyat untuk menyajikan pembangunan pesat di kawasan Sook dan Tulid.
“Fokus saya ialah untuk memperkasakan pembangunan ekonomi, pelancongan, dan peningkatan pergerakan trafik,”
“Impian saya ialah mahu rakyat Sook dan Tulid mengecapi pembangunan yang seimbang dan meningkatkan kuasa beli dikalangan rakyat setara dengan negeri-negari yang lain di negara ini,” Katanya dan menambah rakyat perlu bersedia untuk menerima anjakan pembangunan itu.
Beliau berkata, beliau telah berusaha sedayanya untuk menyediakan infrastruktur seperti kemudahan perbankan (ATM) di pekan Sook yang bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat Sook dan Tulid tetapi sebahagian katalis untuk merancakkan pembangunan sosio ekonomi rakyat serta industri pelancungan di situ. – Oleh: DG HENRY, EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA.