Oleh DG HENRY
BEKAS pelatih TABS SAFA Bandaraya, Mohammad Saifuddin Abdullah dan pelajar Sekolah Sukan Negeri, SMK Datuk Peter Mojuntin, Mohd Ajwad Akhari Azmee dipanggil menyertai skuad Projek FAM-MSN (B19) yang akan bertanding dalam Liga Perdana musim ini.
Saifuddin yang dikenali dengan panggilan Albab, 16, dan Ajwad, 17 ketika ini dalam pasukan Piala Belia Sabah FC.
Kedua-dua pemain muda itu mendapat panggilan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk mengikuti latihan pusat skuad Projek FAM-MSN di Bukit Jalil mulai Jumaat ini.
Mereka dijadualkan berangkat ke Kuala Lumpur esok.
Saifuddin menarik perhatian jurulatih skuad Piala Presiden musim lalu, Johnny Dominicus dan menyenaraikannya dalam pasukan itu namun Liga Piala Presiden tahun lalu ditangguhkan ekoran pandemik Covid-19.
Bagaimanapun musim ini, Johnny dipertanggungjawabkan mengendalikan skuad Piala Belia Sabah FC dan kali ini menyenaraikan Saifuddin dalam pasukan B19 Sabah FC.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim ketika dihubungi hari ini mengucapkan tahniah kepada Saifuddin dan rakannya Ajwad atas panggilan menyertai skuad Projek FAM-MSN.
Katanya, bagi Saifuddin sendiri, ini merupakan peluang terbaik untuknya meningkatkan kualiti permainan bagi membolehkan pergi lebih jauh dalam sukan bola sepak.
“Sebenarnya dia telah menunjukkan bakatnya sejak berusia bawah 10 tahun lagi ketika menjadi pelatih di TABS dan para jurulatih yang pernah membimbingnya sudah mengesan potensinya itu sejak daripada kanak-kanak lagi,” katanya.
Menurutnya, sebab itulah jurulatih Johnny berani memberi peluang kepada Saifuddin untuk menganggotai skuad Piala Presiden musim lalu, yang rata-rata pemainnya berusia bawah 21 tahun.
Lokman berharap Saifuddin dan rakannya Ajwad akan beraksi dengan lebih cemerlang bersama skuad Projek FAM-MSN dalam saingan Liga Perdana yang dijadual bermula awal bulan depan.