Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Selepas keluar penjara, Thaksin bakal diberi peranan dalam kerajaan Thailand

0

BANGKOK: Perdana Menteri, Srettha Thavisin memaklumkan bekas pemimpin, Thaksin Shinawatra, bakal ‘diberi peranan’ dalam kerajaan, selepas dibebaskan dari penjara.

Bercakap kepada Bloomberg di New York kelmarin, beliau percaya Thaksin mampu memberi nilai tambah kepada kerajaan dan rakyat Thailand.

“Beliau adalah bekas Perdana Menteri dan mungkin yang paling popular dalam sejarah politik Thailand,” katanya yang menganggap Thanksin sebagai tokoh berpengaruh dalam parti Pheu Thai.

Srettha sedang berusaha memulihkan pertumbuhan ekonomi yang ketinggalan berbanding negara jirannya susulan hampir sedekad di bawah pemerintahan tentera.

Kenyataan terbaru beliau juga adalah petanda Thaksin akan terus mempengaruhi perkembangan politik Thailand.

Srettha berjaya dilantik ke jawatan itu selepas dibantu Senat dengan tindakan itu dilihat sebagai sebahagian daripada perjanjian antara pertubuhan pro-tentera diraja dan Thaksin.

Thaksin, 74, terpaksa melarikan diri pada 2008 untuk mengelak tuduhan rasuah, sebelum pulang ke Thailand bulan lalu, selepas 15 tahun berada dalam buangan dan tiba beberapa jam sebelum Srettha dipilih sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

Bekas Perdana Menteri Thailand itu kemudian dihantar ke penjara untuk menjalani hukuman selama lapan tahun, sebelum dipindahkan ke hospital polis selepas mengadu sakit dada dan tekanan darah tinggi.

Thaksin beberapa hari kemudian membuat rayuan kepada Raja Maha Vajiralongkorn untuk mendapatkan pengampunan diraja, yang menyaksikan hukumannya dikurangkan kepada setahun.

Namun, keluarga Thaksin kini meneliti kemungkinan mendapatkan pembebasan awal menerusi parol.

Sementara itu, anak Thaksin, Paetongtarn, yang bersedia menjadi pemimpin baharu Pheu Thai, mahu ayahnya dirawat di kediamannya.

Pegawai pemulihan pula menjelaskan Thaksin layak diberi parol, Februari depan

 

 190 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.