GAZA: Ketika pertempuran semakin sengit di sekitar Hospital al-Shifa di Gaza City, tentera Israel kini mula menyerbu terowong-terowong bawah tanah untuk meneruskan misi menghapuskan Hamas.
Perisikan Israel mendakwa ibu pejabat Hamas terletak di rangkaian kompleks terowong yang luas merentasi seluruh Gaza.
SERBU TEROWONG
Tentera Israel turut mendakwa Hamas menyembunyikan tebusan yang ditahan di dalam terowong bawah tanah yang merentasi hospital berkenaan.
Rangkaian itu dianggarkan sejauh 482 kilometer dan sangat luas sehingga disifatkan sebagai ‘sistem metro’ yang lebih besar daripada London Underground.
Tebusan Israel berusia 85 tahun, Yocheved Lifshitz yang dibebaskan bulan lalu, mendedahkan bahawa Hamas menyembunyikan dirinya dan tebusan lain dalam sistem terowong yang kelihatan seperti ‘sarang labah-labah’.
Beribu-ribu orang dikatakan mendapat pekerjaan di dalamnya dan puluhan ribu lagi daripada pemandu kepada pekedai semuanya mendapat manfaat daripada kerja yang disediakan di terowong-terowong berkenaan.
“Ia adalah perasaan yang membingungkan, berjalan-jalan dengan pengetahuan bahawa, di bawah kaki anda, tentera pejuang sedang bersembunyi, menyeludup barangan dan merancang serangan.
“Terowong-terowong itu sangat berbahaya, nadi perang Hamas terhadap Israel, ia adalah lokasi keganasan dan ianya memerlukan bahan api dan oksigen untuk berfungsi,” kata pegawai tentera Israel.
Salah satu sebab Israel enggan membenarkan bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah kerana terlalu takut Hamas menyedut bekalan yang sangat diperlukan untuk memastikan terowong tersebut beroperasi.
RISIKO SATU LAWAN SATU
Isnin lalu, tentera Israel mengeluarkan imej senjata yang dikatakan ditemui di terowong Hamas di bawah hospital kanak-kanak al-Rantisi, kira-kira dua kilometer dari Hospital al-Shifa.
Mereka turut mendakwa menemui sebuah motosikal, dipercayai digunakan untuk mengangkut tebusan yang diculik pada 7 Oktober lalu.
“Satu bilik mengandungi kerusi dengan pakaian wanita dan tali di sebelahnya, menunjukkan ia digunakan untuk menahan tawanan. Berdekatan adalah botol bayi dan lampin,” kata tentera Israel.
Dua minggu lalu, IDF akhirnya menghantar tentera darat ke Gaza, membelah wilayah itu kepada dua, kerana beranggapan untuk memenangi perang ini, mereka harus memusnahkan terowong bersama kumpulan pejuang di dalamnya.
“Kekuatan Hamas ialah rangkaian terowong di bawah Gaza, terutamanya di kawasan bandar.
“Ia benar-benar menggerunkan. Anda tidak boleh memusnahkan jentera tentera Hamas tanpa berurusan dengan rangkaian bawah tanahnya. Itulah sebabnya kami menghantar pasukan darat kami masuk,” kata pegawai kanan Israel kepada pemberita.
Sumber IDF memberitahu, terowong terdiri daripada koridor sempit kira-kira 1. 8 meter ke laluan luas yang boleh membawa kereta dan juga trak.
Terowong itu dikatakan menempatkan pusat arahan, depoh peluru dan kilang senjata untuk melancarkan serangan ke atas Israel dan juga untuk menyeludup segala-galanya dari kenderaan hingga senjata jarak jauh.
Profesor Universiti Reichman Israel dan pengarang Underground Warfare, Dr. Daphné Richemond-Barak berkata, pada peringkat taktikal dan operasi, terowong menentukan bagaimana operasi ketenteraan Israel akan diteruskan dan bagaimana perang akan berlaku.
Katanya, mana-mana pasukan tentera secara tradisinya akan mengerahkan pasukan dan senjata mereka yang paling berkuasa untuk menangani terowong itu
“Peperangan jenis ini menimbulkan risiko serius kepada IDF. Apabila berperang di bawah tanah, tentera mesti memikirkan semula kuasa yang digunakannya, bagaimana ia melengkapkan dan melatih askar termasuk garis panduan taktikal apakah yang akan dilaksanakan.
“Pertempuran dalam terowong pada umumnya adalah melibatkan satu lawan satu. Jika anda cedera, anda mungkin tidak akan diekstrak dan, sudah tentu Hamas sangat berminat untuk menculik tentera Israel.
“Kemudian terdapat perangkap samar. Ini boleh jadi apa-apa sahaja daripada alat letupan buatan sendiri (IED) sehinggalah tebusan yang dilekatkan wayar untuk diletupkan,” katanya.
303 total views, 3 views today