SEOUL: Sidang kemuncak global di Korea Selatan hari ini mengumumkan ‘pelan tindakan’ bagi mengawal penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara bertanggungjawab dalam pasukan tentera.
Garis panduan itu menyatakan pelan tindakan itu lebih praktikal berbanding dokumen hampir sama yang dibuat tahun lalu, yang sehingga kini ia belum dikuatkuasakan.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan daripada 96 negara yang menghantar wakil kerajaan ke sidang kemuncak itu termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China, jumlah sebenar negara yang menyokong dokumen terbabit.
Persidangan Kecerdasan Buatan (AI) yang Bertanggungjawab dalam Bidang Ketenteraan (REAIM) 2024, adalah penganjuran kali kedua , selepas sidang kemuncak itu diadakan di Amsterdam tahun lalu.
Pada masa itu, sekitar 60 negara menyokong ‘seruan untuk bertindak’ secara sederhana, tanpa komitmen undang-undang dalam isu berkaitan AI ketenteraan.
Wakil kerajaan yang bercakap pada sesi meja bulat hari ini, berkata ‘blueprint’ tahun ini lebih berorientasikan tindakan.
Ia selaras dengan kemajuan dalam perbincangan mengenai risiko AI dan perkembangan dalam penggunaannya dalam bidang ketenteraan seperti pelancaran dron AI di Ukraine.
“Kami sedang melakukan langkah lebih konkrit.”
Tahun lalu… lebih kepada mewujudkan persefahaman bersama, kini ia bergerak ke arah tindakan,” kata Menteri Pertahanan Belanda, Ruben Brekelmans.
Katanya, ia termasuk meletakkan jenis penilaian risiko yang perlu dibuat, syarat penting seperti kawalan manusia dan langkah bagaimana boleh di ambil bagi membina keyakinan untuk menguruskan risiko terbabit.
Antara perincian yang ditambah dalam dokumen itu ialah keperluan untuk menghalang AI daripada digunakan untuk meluaskan penggunaan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) termasuk dalam kalangan kumpulan pengganas dan kepentingan mengekalkan kawalan manusia serta penggunaan AI dalam pekerjaan berkaitan senjata nuklear.
Pegawai Korea Selatan berkata, dokumen itu merangkumi banyak perkara yang sama seperti prinsip yang dibentangkan di tempat lain, misalnya pengisytiharan kerajaan AS mengenai penggunaan AI yang bertanggungjawab dalam tentera yang dilancarkan tahun lalu.
Namun, sidang kemuncak Seoul yang dihoskan bersama Belanda, Singapura, Kenya dan United Kingdom itu bertujuan memastikan perbincangan pelbagai pihak secara berterusan dan tidak dikuasai oleh satu negara atau entiti.
Tambahnya, tempat dan masa untuk sidang kemuncak seterusnya masih di peringkat perbincangan.