BEIJING: China mendakwa keadaan di sempadan Himalaya yang terletak antara republik itu dengan India kini stabil selepas pertempuran baharu antara tentera kedua-dua negara berkenaan tercetus pada minggu lalu.
Insiden itu dianggap paling serius di kawasan sempadan membabitkan dua negara berkenaan sejak tahun 2020 apabila seramai 20 tentera India dan empat tentera China maut dalam pertempuran.
Menurut seorang sumber dari India, pertempuran yang berlaku pada 9 Disember lalu menyebabkan beberapa pegawai dari kedua-dua pihak mengalami kecederaan ringan.
Katanya, ketika kejadian, latihan ketenteraan bersama AS-India sedang berlaku di sempadan itu.
Jelas sumber itu, pasukan tentera China menghampiri kawasan berhampiran Garis Kawalan Sebenar (LAC), lokasi yang mana kedua-dua pihak mempersetujui untuk tidak melakukan rondaan.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin tidak mengulas mengenai dakwaan pertempuran itu.
Bagaimanapun, beliau berkata, situasi di sempadan China-India kini sudah stabil secara keseluruhannya.
“Kedua-dua belah pihak mengekalkan hubungan dialog secara aman menerusi saluran diplomatik dan ketenteraan.
“Kami harap pihak India juga akan mara ke hadapan sepertimana dilakukan oleh China,” katanya.
Sebelum ini, beberapa laporan media India memetik sumber mendakwa pertempuran itu membabitkan kira-kira 300 anggota Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) dan pasukan China mengalami lebih banyak kecederaan.
Setakat ini, China masih belum memberi maklum balas mengenai laporan media itu. – AFP