Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sunak ikrar bersikap tegas terhadap China jika jadi PM Britain

0

LONDON: Rishi Sunak berikrar akan bersikap lebih tegas terhadap China sekiranya beliau dipilih menjadi Perdana Menteri Britain.

Malah, calon dari parti Konservatif itu turut menggelar kuasa besar Asia sebagai `ancaman nombor satu’ terhadap keselamatan negara dan global.

Bekas menteri kewangan itu membuat janji demikian selepas pesaingnya, Liz Truss menuduh beliau bersikap lemah terhadap China dan Russia.

Sebelum ini, Global Times melaporkan Sunak merupakan satu-satunya calon dalam pemilihan itu yang mempunyai pandangan jelas dan pragmatik dalam membangunkan hubungan United Kingdom (UK)-China.

Namun, Truss pula dalam laporan Daily Mail menyifatkan `pujian’ China terhadap Sunak tidak diingini oleh sesiapa.

Selain itu, Sunak turut mencadangkan penutupan kesemua 30 Institut Confucius di Britain sekaligus menghalang penyebaran pengaruh China melalui program budaya dan bahasa.

Ahli politik itu juga berjanji untuk menyingkirkan Parti Komunis China (PKC) dari universiti negara itu dengan memaksa pihak pengurusan pendidikan tinggi mendedahkan pembiayaan asing lebih daripada AS$60,000 (RM267,000) dan menyemak semula perkongsian penyelidikan.

Dalam pada itu, Sunak berkata, agensi pengintip domestik Britain MI5 akan digunakan untuk membantu memerangi pengintipan China.

Malah, katanya, beliau akan berusaha membina kerjasama antarabangsa ‘gaya NATO’ untuk menangani ancaman China di alam siber.

Sunak memaklumkan akan turut meneliti untuk mengharamkan pengambilalihan aset utama British oleh China termasuk firma teknologi yang sensitif secara strategik.

Sementara itu, Truss juga menggesa pendekatan lebih keras dengan menyeru pemimpin negara G7 untuk menjadi `ekonomi NATO’ terhadap ancaman China.

Beliau juga memberi amaran kepada Beijing mengenai sekatan sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan antarabangsa.

Sunak dan Truss mendahului pusingan terakhir undian oleh Ahli Parlimen Konservatif dalam pemilihan perdana menteri Britain yang baharu. – AFP

 

 150 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.