Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Sungai Kinabatangan Naik Diparas Amaran

0

Oleh: EKOK AMIN dan ROSANNA EDEZA

SUNGAI Kinabatangan naik di paras amaran susulan hujan lebat di bahagian hulu sungai.

Anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia melakukan pemantauan di kawasan sebuah kampung di Kinabatangan yang mula dinaiki banjir

Beberapa rumah di kawasan Kampung Pangkalan Bukit Garam sudah dinaiki air pada petang pada Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlam Shah Jamaluddin, berkata bacaan aras pada pagi Sabtu dilaporkan setinggi 9.36 meter.

“Trend air semakin meningkat, dan mengikut rondaan pasukan kami pagi tadi, paras air mencapai 9.36m berbanding semalam iaitu 9.34m.

“Petang kelmarin pula pada sebelah petang pasukan saya membuat rondaan bacaan paras air hanya mencatat 9.30 meter iaitu masuk kepada paras amaran.

“Namun, hari ini ia melepasi paras amaran dan setakat ini ada lapan keluarga mengambil inisiatif sendiri untuk berpindah ke balai raya berhampiran yang mana rumah mereka berada di tebing sungai sudah dimasuki air,” katanya pada sidang media di Kinabatangan, pada Sabtu.

Nurul Azlam Shah berkata, air melimpah itu datang dari Hulu Kuamut dan sekiranya Sungai Kuamut masih tinggi ataupun meningkat, air di kawasan Kinabatangan turut meningkat.

“Selagi di kawasan sana hujan berterusan, air sungai di Kinabatangan akan turut meningkat. Tetapi, dalam dua hari ini keadaan di Kinabatangan terutama di kawasan pangkalan Kinabatangan agak mendung, dan ada sedikit hujan renyai-renyai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata belum ada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka dan balai raya berkenaan hanya tempat sementara sahaja.

“Namun, semua lapan keluarga berkenaan sudah diberikan bantuan bakul makanan pada pagi tadi,” katanya.

Beliau berkata, penduduk dinasihatkan sentiasa berjaga-jaga dan segera berpindah atau menghubungi pihak berkuasa jika berlaku kecemasan.

 

 295 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.