Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Thailand cadang wujud lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan Malaysia

0

BANGKOK: Thailand mencadangkan untuk mewujudkan lebih banyak pusat pemeriksaan sempadan di sepanjang perbatasannya dengan Malaysia dalam usaha untuk memacu perdagangan rentas sempadan, pembangunan dan peningkatan hubungan serta interaksi antara individu.

Cadangan itu dibuat semasa pertemuan baru-baru ini antara Speaker Dewan Rakyat Thailand, Wan Muhamad Noor Matha dan Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel ketika kedua-duanya membincangkan cara untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala.

Wan Muhamad Noor mengusulkan pembukaan pusat pemeriksaan sempadan baharu di daerah Kabang di Wilayah Yala, yang akan menghubungkan ke negeri Kedah di utara Malaysia.

“Pusat pemeriksaan sempadan baharu dengan Malaysia mengukuhkan hubungan rapat kami dan meningkatkan perdagangan sempadan.

“Saya akan menggesa kerajaan untuk melaksanakan projek ini,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Wan Muhamad Noor juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana menjaga pelajar Thailand dan rakyat Thai yang bekerja di Malaysia.

Beliau juga menantikan lawatan rasmi perdana menteri Thailand yang baharu ke Malaysia dalam masa terdekat.

Kedua-dua Perdana Menteri akan berpeluang bertemu dan meneruskan perbincangan mereka daripada pertemuan mereka baru-baru ini di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.