Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

TNLA dakwa 11 maut akibat serangan udara tentera Myanmar di Shan

0

BANGKOK: Sekurang-kurang 11 orang awam maut dan 11 lagi cedera dalam serangan udara dilancarkan tentera Myanmar ke atas utara Shan, dakwa jurucakap kumpulan bersenjata etnik minoriti yang memerangi junta, hari ini.

Lway Yay Oo daripada Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) mendakwa, pihak junta mengebom dua kawasan di bandar Namhkam kira-kira jam 1 pagi waktu tempatan.

“Serangan itu meragut 11 nyawa membabitkan lima lelaki, empat wanita serta dua kanak-kanak, selain mengakibatkan 11 lagi mangsa cedera,” katanya sambil memaklumkan bangunan pejabat sebuah parti politik tempatan turut mengalami kerosakan dalam kejadian berkenaan.

Rakaman imej dalam media sosial menunjukkan orang ramai melakukan pencarian di celah sisa runtuhan, selain membantu seorang individu yang dilihat mengalami kecederaan.

AFP tidak dapat menghubungi jurucakap junta untuk komen, setakat ini.

Terdahulu dalam minggu ini, Ketua junta, Min Aung Hlaing, memberi amaran kepada orang awam di wilayah yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik minoriti supaya bersedia untuk menghadapi serangan balas pihak tentera, lapor media Myanmar.

Junta turut mengumumkan pihaknya telah mengisytiharkan TNLA sebagai pertubuhan ‘pengganas’, justeru mereka yang didapati menyokong atau berhubung dengan TNLA dan dua lagi kumpulan bersenjata etnik minoriti – Tentera Arakan (AA) serta Tentera Perikatan Demokratik Nasional Myanmar (MNDAA) – kini boleh dikenakan tindakan undang-undang. – AFP

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.