Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Trump sifatkan parti politik Musk tidak masuk akal, tidak kekal lama

0

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump semalam menyelar tindakan bekas sekutunya, Elon Musk yang melancarkan parti politik baharu sebagai sesuatu yang “tidak masuk akal”.

Musk sebelum ini menyokong Republikan, namun menyatakan hasratnya untuk mencabar sistem “satu parti” di AS.

Bercakap kepada pemberita, Trump memaklumkan AS sejak dahulu mempunyai sistem dua parti dan menyifatkan parti ketiga hanya menambah kekeliruan kepada rakyat.

“Parti ketiga tidak pernah berjaya. Jadi dia boleh berseronok dengannya, tetapi bagi saya ia memang tidak masuk akal,” katanya.

Musk, individu terkaya di dunia dan penderma politik terbesar Trump dalam pilihan raya 2024, berkonflik dengan Presiden itu selepas mengetuai usaha Republikan mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan memotong jumlah pekerjaan persekutuan melalui jabatan yang digelar Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE).

Musk berselisih pendapat dengan Trump berhubung rancangan perbelanjaan domestik Presiden itu yang besar, dengan mendakwa ia akan melonjakkan hutang negara AS, selain berikrar akan melakukan apa sahaja untuk menewaskan Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Kelmarin, Musk menubuhkan parti politik dikenali sebagai “America Party” yang bakal menjadi platform utama pemilik Tesla, SpaceX dan X itu untuk mencapai matlamatnya.

Dalam catatan seterusnya di Truth Social, Trump mendakwa Musk sudah “hilang arah” dan menjadi huru hara sejak lima minggu lalu.

Trump turut mengulangi dakwaannya bahawa Musk, yang memiliki syarikat kenderaan elektrik Tesla, berpaling tadah disebabkan rang undang-undang perbelanjaannya yang memotong subsidi kenderaan elektrik.

Bagaimanapun, Musk bertegas penentangannya berpunca daripada peningkatan defisit fiskal dan hutang negara yang bakal ditanggung oleh AS susulan pelaksanaan rang undang-undang itu.

Semalam, Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent turut menyindir cubaan Musk untuk terbabit dalam arena politik, dengan menasihatinya supaya menumpukan perhatian kepada syarikatnya.

Ketika ditanya CNN sama ada rancangan Musk itu merisaukan pentadbiran Trump, Bessent memberikan kritikan tersirat.

“Saya percaya lembaga pengarah di syarikat-syarikat beliau mahukannya kembali menumpukan perhatian mengurus syarikat berkenaan, sesuatu yang beliau lebih mahir daripada orang lain.

“Jadi saya bayangkan lembaga pengarah mereka tidak menyukai pengumuman semalam dan akan menggalakkan beliau fokus pada aktiviti perniagaan, bukan politik,” katanya.

Musk meninggalkan DOGE pada Mei lalu untuk kembali memberi tumpuan penuh kepada tanggungjawab korporatnya, dengan jualan dan imej Tesla dilaporkan terjejas berikutan pembabitannya seketika dalam kelompok dalaman Trump. – AFP

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.