Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Tujuh pasukan berentap piala Matasan

0

Oleh DG HENERY

TUJUH pasukan akan berentap dalam Kejohanan Bola Sepak Piala Matasan Ahmad anjuran Unit Kejurulatihan TABS SAFA Bandaraya di padang TABS SUKMA yang bermula semalam.

Pasukan Jerman yang dianggotai para jurulatih dan pengurusan TABS.

Pasukan terbabit yang menggunakan nama negara terdiri dari Malaysia, Jepun, Jerman, Mexico, Brazil, England dan North Borneo bagi merebut piala Ketua Jurulatih TABS, Matasan Ahmad yang juga seorang bekas pemain negeri seangkatan Datuk James Wong.

Timbalan Pengerusi TABS SAFA Bandaraya, Lokman Sunggim yang melakukan pelancaran kejohanan itu, berkata kejohanan secara liga itu membabitkan jurulatih dan bapa-bapa pelatih TABS.

Katanya, ia sebagai menghargai sumbangan ketua jurulatih itu bersama TABS sejak sekian lama selain sebagai mengenang jasanya sebagai salah seorang lagenda bola sepak di negeri ini.

“Kita menghargai usaha yang dilakukan unit kejurulatihan khususnya jurulatih Roslan Wasli bersama ahli jawatankuasanya yang mengilhamkan kejohanan ini yang membabitkan penyertaan jurulatih dan bapa-bapa pelatih TABS,” katanya selepas majlis pelancaran kejohanan berkenaan.

Pasukan Malaysia yang mencatat kemenangan besar 9-1 ke atas Jepun di pembukaan.

Menurut beliau, pihaknya sentiasa memberi sokongan terhadap sebarang program dan aktiviti yang menjalinkan kerjasama, hubungan baik dan siratulrahim dalam kalangan warga TABS khususnya ibu bapa pelatih.

Tambahnya, pengurusan TABS sentiasa menggalakkan usaha-usaha untuk memupuk semangat kerjasama membabitkan pengurusan, jurulatih dan ibu bapa pelatih kerana ini boleh membantu meningkatkan persefahaman dan kualiti program pembangunan yang dijalankan.

“Kita ingin memastikan bahawa program pembangunan akar umbi TABS ini menyumbang ke arah usaha memajukan sukan bola sepak di Sabah,” tegas Lokman yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA.

Sementara itu, dua perlawanan yang diadakan semalam berkesudahan Malaysia menumpaskan Jepun 9-1 manakala Jerman seri 4-4 dengan Mexico.

Dua lagi perlawanan pada Ahad ini melibatkan England menentang North Borneo di padang TABS SUKMA dan Jerman akan bertemu Brazil di venue yang sama.

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.