Oleh Mohd Khairy Abdullah @ Henry
KOTA KINABALU, Malaysia | 18 Januari 2026 — Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) meningkatkan tekanan politik terhadap Kerajaan Persekutuan agar menggugurkan rayuan yang difailkan di Mahkamah Rayuan susulan grounds of judgment keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025 berkaitan semakan kehakiman tuntutan hak 40 peratus Sabah.
Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick, menegaskan bahawa rayuan tersebut bercanggah dengan komitmen reformasi persekutuan dan menjejaskan kredibiliti usaha Malaysia untuk menzahirkan pelaksanaan tulen Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ini bukan tuntutan politik jangka pendek. Ini adalah ujian asas terhadap integriti Persekutuan Malaysia. Hak 40 peratus adalah sebahagian daripada kontrak pembentukan negara dan tidak seharusnya ditangguhkan melalui proses perundangan yang berlarutan,” katanya.
Ewon menekankan bahawa pelaksanaan semula hak 40 peratus adalah prasyarat kepada keadilan fiskal dan pembangunan wilayah yang seimbang di Malaysia Timur, khususnya Sabah, selepas hampir lima dekad pelaksanaannya terhenti sejak 1974.
Beliau berkata, tuntutan tersebut bukan soal kewangan semata-mata, tetapi berkait langsung dengan keupayaan Kerajaan Negeri untuk menangani kemiskinan struktural, membina daya saing ekonomi tempatan, memperluas keusahawanan, memperkukuh industri, melabur dalam pendidikan, serta membangunkan modal insan secara mampan.
Kenyataan itu dibuat ketika Ewon menyempurnakan pelancaran Persidangan Perwakilan Tritahunan UPKO Ke-17 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Mengulas langkah susulan keputusan Mahkamah Tinggi, Ewon — yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan — mendedahkan bahawa mesyuarat kedua jawatankuasa peringkat pegawai kanan Persekutuan–Negeri yang dijadualkan pada Disember 2025 telah ditangguhkan.
“Pendirian Sabah adalah jelas dan konsisten: rayuan itu perlu digugurkan. Penangguhan mesyuarat tersebut hanya melengahkan penyelesaian substantif yang dituntut rakyat Sabah,” katanya, sambil menegaskan bahawa sebab penangguhan itu perlu dijelaskan oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.
Sebagai Ahli Parlimen Penampang, Ewon berkata beliau akan membawa isu tersebut ke Parlimen dan mengulangi pendirian UPKO agar Kerajaan Persekutuan menarik balik rayuan berkenaan, selaras dengan semangat reformasi perlembagaan dan pengukuhan hubungan persekutuan–negeri.
Ewon turut mengakui bahawa Sabah telah menikmati kemajuan ketara sejak pembentukan Malaysia pada 1963 dan menghargai penyelesaian 13 perkara berkaitan hak Sabah dan Sarawak di bawah MA63, hasil kerjasama konstruktif antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Namun beliau menegaskan bahawa isu perkongsian hasil kekal sebagai kegagalan struktur yang belum diperbetulkan.
“Pelaksanaan pemberian semula 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah yang terhenti sejak 1974 adalah jurang keadilan yang masih terbuka. Selagi ia tidak diselesaikan, agenda MA63 tidak boleh dianggap lengkap,” katanya.
Sehubungan itu, Ewon menegaskan bahawa UPKO akan terus berganding dengan rakyat Sabah melalui pelbagai saluran — kerajaan, politik, perundangan, akademik, aktivisme dan wacana awam — bagi memastikan tuntutan hak 40 peratus ini diselesaikan secara muktamad.
Beliau turut menyatakan bahawa penyertaan UPKO dalam Kerajaan Persekutuan sejak Disember 2022 sehingga keputusan beliau meletakkan jawatan dalam Kabinet Persekutuan telah merekodkan pendirian parti itu secara konsisten dan terbuka.
“Kehadiran kita dalam kerajaan bukan untuk menormalisasi penangguhan hak, tetapi untuk menuntut pelaksanaannya,” katanya.
![]()