PENAMPANG (Sabah, Malaysia): Majlis Tertinggi Pertubuhan Kinabalu Bersatu (UPKO) pada Jumaat bersetuju dengan tindakan penarikan balik Saman Pemula yang difailkan oleh Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah berikutan dua daripada perkara yang dibawa ke mahkamah dalam OS tersebut telah diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan, manakala satu lagi perkara telah diberikan tempoh masa sehingga Julai 2024 untuk permuktamadkan.
Presiden parti itu, Datuk Ewon Benedick menyifatkan, kejayaan mendapatkan penyelesaian dua daripada tiga perkara dalam Saman Pemula (Originating Summons) menambah nilai perjuangan Pakatan Harapan (PH) Sabah yang telah mengangkat perkara itu di mahkamah.
“Pada masa yang sama tindakan wakil rakyat PH Sabah juga berjaya mengangkat perkara-perkara tersebut di Kabinet dan jawatankuasa Kabinet yang sebelum ini tidak pernah berlaku,” .
“Majlis Tertinggi parti merekodkan penghargaan kepada Mahkamah yang bersetuju agar kebebasan memfailkan semula OS tersebut diberikan kepada Wakil-Wakil Rakyat PH Sabah sebagai plaintif seandainya perkara tersebut tidak dimuktamadkan sepertimana tempoh masa yang telah diputuskan oleh Kerajaan,” katanya. pada persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO, di Ibu Pejabat parti itu, di sini.
Menteri Pembangun Keusahawanan dan Koperasi Malaysia itu berkata, mesyuarat juga memberi mandat kepada beliau sebagai presiden untuk membawa suara parti dan mewakili aspirasi rakyat dalam semua platfotm Kerajaan iaitu mesyuarat Jemaah Menteri, Majlis Khas Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MKTPMA63), Jawatankuasa Teknikal MKTPMA63 dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara seperti dilaksanakan oleh presiden selama ini sejak dilantik ke platform-platform tersebut.
“Pelbagai keputusan telah dipersetujui dalam mesyuarat itu antaranya autonomi PH Sabah harus dipertahankan dan sebarang usaha merombak autonomi tersebut tidak harus dibenarkan,” katanya..
Mengenai keahlian parti, beliau berkata, setakat Ogos 2023 sebanyak 160,041 orang berdaftar sebagai ahli daripada 3,560 cawangan di kesemua 25 Bahagian termasuk empat bahagian di Perak.
Beliau berkata, bagi memperkasa perkhidmatan dan kepimpinan parti, mesyuarat bersetuju menubuhkan 10 biro untuk memantapkan lagi perjuangan parti itu.
“Biro Politik dan Biro Penyelarasan Khidmat UPKO akan dipengerusikan oleh saya sendiri, Biro Perundangan dan MA63 (Pengerusi – Nelson Wences Angang), Biro Kewarganegaraan (Datuk Donald Peter Mojuntin), Biro Pilihanraya dan Pendidikan Politik (Pengerusi: Datuk Wong Thien Fook), Biro Ekonomi dan Keusahawanan (Pengerusi: Datuk Gilbert Sham), Biro Penerangan dan Penyelidikan (Pengerusi: Dr Peter Naintin Jr), Biro Hal Ehwal Anak Negeri dan Orang Asal (Pengerusi: Datuk Douglas Primus), Biro Pendidikan (Pengerusi: Datuk Philip Lasimbang) dan Biro Hubungan Antarabangsa (Pengerusi: Rowindy Lawrence Odong).
“Mesyuarat juga memperakukan penganjuran Konvensyen UPKO Peringkat Zon bermula pada 15 Oktober ini bagi Bahagian Beaufort, Kimanis dan Papar.
“Semasa konvensyen ini, kita membenarkan ahli-ahli parti membahaskan perkara-perkara yang menjadi keprihatinan Bahagian-Bahagian yang menganjurkan konvensyen tersebut,” katanya.