Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Usaha bersepadu promosi pelancongan FMU10 perlu — Mashor

0

KENINGAU (Sabah, Malaysia) — Usaha bersepadu dan kerjasama yang erat dari pelbagai pihak bagi mempromosikan kawasan FMU10 sebagai destinasi eko pelancongan yang menarik amat di perlukan.

DATUK MASHOR JAINI

Ketua Konservator Hutan Jabatan Perhutanan Sabah Datuk Mashor Mohd Jaini berkata, menyedari hakikat ini, Jabatan Perhutanan akan mengambil langkah untuk meningkatkan kolaborasi dan kerjasama dengan Pejabat Daerah, Lembaga Pelancongan Sabah, Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Operator Pelancongan, penduduk setempat, semua Malim FMU10 dan semua pihak yang berkepentingan.

Katanya, dengan jangkaan bilangan pengunjung dan pelancong ke kawasan FMU10 yang akan bertambah, tenaga kerja tambahan sebagai “guide” atau malim adalah sangat diperlukan.

Mashor berkata demikian semasa berucap menyempurnakan Kursus Malim FMU10 anjuran Jabatan Perhutanan Sabah yang berlangsung selama tiga hari di Pusat Kraftangan Sabah di sini.

“Dengan itu, Jabatan Perhutanan telah mengambil pendekatan untuk menawarkan peluang kerja secara sukarela sebagai malim kepada penduduk setempat yang tinggal berhampiran kawasan FMU10” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perhutanan telah menerima sambutan yang amat menggalakkan, di mana seramai lebih kurang 600 orang penduduk setempat telah menghadiri temuduga untuk memohon sebagai malim FMU10.

Walau bagaimanapun katanya, berdasarkan temuduga dan sesi ujian kecergasan, hanya seramai lebih kurang 100 orang telah dipilih untuk bertugas sebagai Malim FMU10.

“FMU10 adalah merupakan kawasan konservasi hutan yang dikelaskan sebagai Hutan Simpan Kelas I. Ianya terdiri daripada tiga hutan simpan iaitu Hutan Simpan Nuluhon Trusmadi, Hutan Simpan Nuluhon Trusmadi (Extention)dan Hutan Simpan Sungai Kiluyu, dengan keluasan lebih kurang 88,045 hektar” jelasnya.

Tambahnya, kawasan FMU10 sememangnya kaya dengan kepelbagaian fauna dan flora serta landskap yang menarik.

Katanya, ini adalah merupakan daya tarikan semula jadi kepada pelancong dalam dan luar negara untuk mengunjungi kawasan FMU ini, terutamanya untuk mendaki Gunung Trusmadi yang berketinggian 2,642 meter di atas aras laut yang merupakan gunung kedua tertinggi di Malaysia selepas Gunung Kinabalu.

Disamping itu kawasan FMU10 mempunyai dua lagi gunung yang semakin popular kepada penggemar aktiviti pendaki dalam dan luar negara iaitu Gunung Sinsing dengan ketinggian 2,603 meter dan Gunung Kaingaran dengan ketinggian 2,482 meter.

Selain aktiviti pendakian gunung katanya, Jabatan Perhutanan Sabah juga kini dalam peringkat akhir membangun kawasan FMU10 untuk menawarkan aktiviti eko pelancongan dan rekreasi hutan yang lain seperti kunjungan ke Taman Bunga Liar, “Bird Watching”, aktiviti “night safari” melihat hidupan liar di waktu malam serta “insect watching”.

Dalam masa yang sama katanya, bagi meningkatkan pengurusan pengunjung dan pelancong ke kawasan FMU10, Jabatan Perhutanan telah menyediakan satu garis panduan pelawat untuk kegunaan kakitangan Jabatan Perhutanan, operator pelancong dan Malim FMU10 yang akan didaftarkan oleh Jabatan Perhutanan.

 849 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.