NEW YORK: Seorang wanita dari Florida tersenarai dalam Rekod Dunia Guinness selepas berjaya menamatkan 23 larian ultra-maraton sejauh 50.05 kilometer (km) dalam tempoh 23 hari.
Guinness World Records mengesahkan, Megan Cassidy, 41, dari Kissimmee mencatat rekod dunia iaitu paling banyak hari untuk berlari dalam jarak ultra-maraton apabila menghabiskan larian dengan jarak sama setiap hari dari 17 Disember hingga 8 Januari.
“Berlari setiap hari seperti itu tidaklah begitu teruk kerana saya sudah menjadikannya sebagai rutin harian.
“Tetapi ada juga ketikanya saya terasa sunyi. Tetapi saya akan memakai bib yang menceritakan tentang apa yang saya lakukan dan orang suka mendengarnya,” kata Cassidy kepada Oceola News-Gazette.
Cassidy berkata, dia menamatkan lariannya di kawasan Tasik Nona kerana suasana kualiti laluan di denai itu.
Namun jelasnya, salah satu bahagian paling sukar dalam percubaan itu ialah memastikan dirinya mengambil makanan yang mencukupi.
“Sukar untuk makan kalori yang mencukupi dalam beberapa hari pertama. Otak saya seakan cuba menghalang saya melakukannya dengan sering memberi isyarat saya tidak lapar.
“Saya terpaksa memberitahu teman lelaki saya untuk memastikan bahawa saya makan sekurang-kurangnya satu perempat daripada sekuali lasagna setiap hari,” katanya.
Cassidy menewaskan rekod selama 22 hari sebelum ini dan dia pada awalnya percaya mampu melangkaui 23 hari tetapi terpaksa menghentikan percubaannya untuk kembali bekerja.