Oleh: DG HENRY dan EKOK AMIN

LELAKI warga emas yang dicam sebagai Suwardi Allu, 64, di Kunak (Sabah, Malaysia) rentung dalam kebakaran yang turut memusnahkan dua blok rumah kongsi pekerja lewat tengahari pada Ahad.
Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Sabah dalam kenyataan kepada media memberitahu,
jabatannya menerima panggilan kecemasan jam 12.15 tengahari.
10 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kunak dikejarkan ke lokasi di Lorong 7, Kunak Jaya.
Pasukan bomba diketuai Ketua BBP Kunak, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohammad Omarbatha, berjaya mengawal kebakaran daripada merebak ke 3 blok rumah kongsi berhampiran.
Pegawai penyiasat kebakaran bomba (FIO) serta unit anjing pengesan turut berada di lokasi kejadian untuk membantu kerja-kerja siasatan.
Operasi tamat sepenuhnya jam 4.22 petang.
![]()