Oleh: DG HENRY
TUNAS Asas Bola Sepak Sabah (TABS) SAFA Bandaraya Kota Kinabalu merancang untuk menmganjurkan kejohanan bola sepak remaja tahun ini bagi memberi pendedahan kepada pelatih-pelatihnya yang mengikuti program pembangunan bola sepak akar umbi ketika ini.
Timbalan Pengerusinya Lokman Sunggim berkata, ia antara aktiviti akan dikendalikan oleh unit kejurulatihan TABS sepanjang tahun ini..
“Buat permulaan unit kejurulatihan akan menganjurkan karnival bola sepak bawah 12 tahun secara dalaman dalam masa terdekat,” katanya selepas menerima sumbangan bola daripada Naib Ketua Umno Bahagian Papar, Hasrul Awang Tengah dan bekas Anggota Parlimen Papar, Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pagi tadi.
Hadir sama ialah Setiausaha Eksekutif SAFA, David Wisom, Setiausaha SAFA Bandaraya Kota Kinabalu, Puan Dg. Juraidah Datuk Abdul Rahim dan Penolong ketua jurulatih TABS, Roslan Wasli.
Menurut Lokman, selain diberi latihan dan bimbingan, pelatih-pelatih wajar diberi pendedahan menerusi kejohanan peringkat umur mereka.
Beliau berharap sesi latihan setiap hujung minggu pelatih akan terus dapatkan dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Pada masa ini, kita dapati sambutan pelatih baru semakin meningkat dan pada masa yang sama, kita menfdapat kerjasama yang baik daripada kalangan ibu bapa pelatih,” katanya.
Mengenai sumbangan bola yang disampaikan kepada TABS daripada ibu bapa dan individu tertentu, Timbalan Pengerusi TABS itu mengucapkan penghargaan dan setinggi-tinggi terima kasih kepada mereka.
Katanya, sumbangan sedemikian merupakan sokongan yang baik kepada TABS untuk meningkatkan lagi program pembangunan bola sepaknya.