MANILA: Lebih 1,000 pejuang Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) membuat keputusan untuk keluar daripada kumpulan itusecara rasmi kelmarin sebagai langkah besar dalam pelaksanaan perjanjian damai antara kerajaan Filipina dengan wilayah selatan negara ini.
Pentadbir wilayah selatan Filipina sudah berpuluh tahun menuntut kemerdekaan sendiri daripada kerajaan sehingga mencetuskan pergolakan berdarah.
Bangsamoro merupakan wilayah yang meliputi kawasan majoriti penduduknya beragama Islam di Mindanao sudah menjalani proses damai yang bermula sejak 2014 apabila kerajaan mencapai perjanjian gencatan senjata secara kekal dengan MILF.
MILF pula merupakan kumpulan pemisah bersenjata tertua di Mindanao yang terus berjuang apabila organisasi induknya, Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) mencapai perjanjian damai dengan Manila pada 1990-an.
Pejuang MILF hanya bersetuju untuk melakukan gencatan senjata pada 2014 dengan pertukaran, mereka dibenarkan mentadbir di Bangsamoro.
Perjanjian yang dimeterai itu melibatkan beberapa perkara termasuk 40,000 anggota pejuang bersetuju meninggalkan kumpulan itu.
USAHA DAMAI MAKIN POSITIF
Menurut Wilayah Autonomi Muslim Bangsamoro Mindanao (BARMM), sebanyak 1,301 anggota pejuang MILF mengikuti proses ‘decommissioned’ kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan ketika ini adalah seramai lebih 26,000 orang atau lebih 65 peratus.
“Keputusan yang dibuat oleh semua pejuang MILF itu menunjukkan usaha damai yang dilakukan semakin positif antara kerajaan dengan wilayah selatan Filipina.
“MILF mengiktiraf mana-mana anggota pejuang yang berhasrat atau sudah pun keluar daripada kumpulan itu kerana menganggap ia sebagai komponen penting dalam proses normalisasi antara kerajaan dengan wilayah selatan,” kata Ketua Menteri BARMM, Murad Ebrahim.
Selain itu, Murad menjelaskan, biarpun proses itu berjalan perlahan, namun beliau yakin ia akan berjaya.
Katanya, perkara itu mengambil masa untuk semua anggota MILF berubah daripada pejuang kepada masyarakat biasa.
PERCEPATKAN PEMBANGUNAN
Dalam ucapan rasminya pada bulan lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. memuji usaha damai yang dilakukan oleh BARMM dengan kerajaan.
Perjanjian damai itu sentiasa menjadi isu utama dalam pentadbiran Marcos, menurut penasihatnya, Carlito Galvez Jr.
Dalam pada itu, Murad juga menegaskan beliau komited untuk menyelesaikan semua proses decommission anggota MILF bagi melaksanakan perjanjian damai yang dipersetujui.
“Sebaik sahaja proses itu selesai, kita akan segera menandatangani perjanjian damai yang dipersetujui sebelum ini.
“Untuk itu, kita juga berharap Manila dapat mempercepatkan pembangunan infrastruktur di wilayah ini bagi meningkatkan kualiti hidup penduduk,” ujarnya.
Murad menyatakan, keadaan yang tidak membangun di Bangsamoro menyebabkan penduduknya ‘tidak berminat’ untuk menjadi masyarakat normal.
“Pembangunan di Bangsamoro ketika ini amat terhad dan menerusi proses itu, kita boleh didik masyarakat, termasuk pejuang MILF untuk menjalani kehidupan normal, tanpa keganasan dan kekerasan,” tegasnya.
WILAYAH RASMI 2025
Jika semua proses perjanjian damai berjalan lancar, penduduk Bangsamoro boleh mentadbir wilayah sendiri, lengkap dengan badan perundangan dan eksekutifnya pada 2025.
Hal ini kerana, penduduk wilayah itu mengundi untuk mendapatkan kuasa autonomi yang lebih besar dalam syarat perjanjian damai yang dipersetujui.