Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Singapura hukum gantung banduan kelima tahun ini

0

SINGAPURA: Singapura melaksanakan hukuman gantung terhadap seorang lelaki berusia 39 tahun yang disabitkan bersalah mengedar heroin.

Hukuman itu merupakan yang kelima dilaksanakan di republik itu tahun ini dan ketiga dalam tempoh lebih seminggu.

Shalleh Adul Latiff dikenakan hukuman mati kerana memiliki kira-kira 55 gram heroin ‘bagi tujuan pengedaran’ pada 2019.

Hukuman itu dilaksanakan kelmarin, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) menerusi kenyataan.

Menurut dokumen mahkamah, Shalleh merupakan pemandu penghantaran sebelum ditahan pada 2016.

Semasa perbicaraan, dia mendakwa percaya dirinya menghantar rokok seludup untuk rakan yang berhutang dengannya.

Lelaki itu merupakan banduan ke-16 yang dihantar ke tali gantung sejak republik itu menyambung semula pelaksanaan hukuman mati pada Mac 2022, selepas penangguhan selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.

Hukuman mati itu menyusul kurang seminggu selepas republik itu menghukum gantung wanita pertama dalam tempoh hampir 20 tahun kerana mengedar dadah, walaupun dikecam kumpulan hak asasi manusia.

Saridewi Djamani, warga Singapura berusia 45 tahun, dihukum gantung pada Jumaat lalu kerana mengedar kira-kira 30 gram heroin.

Seorang lagi warga tempatan, Aziz Hussain, 57, dihukum gantung dua hari lebih awal kerana mengedar kira-kira 50 gram heroin.

Minggu lalu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengecam hukuman gantung itu dan menggesa Singapura melaksanakan moratorium ke atas hukuman mati.

Singapura menegaskan hukuman mati adalah pencegahan berkesan terhadap pengedaran dadah dengan mengedar lebih 500 gram ganja atau lebih 15 gram heroin boleh dihukum mati.

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.