Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

10 bilionair dunia kumpul kekayaan RM1.6 trilion

0

KETIKA dunia menutup cerita 2021 dengan pelbagai isu kesihatan, kemiskinan dan kesengsaraan meneruskan kehidupan akibat bencana dan virus Covid-19, bilionair di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah masih mampu tersenyum bangga apabila bertambah semakin kaya.

Seramai 10 individu paling kaya di dunia merekodkan pertambahan kekayaan tahun lalu kepada jumlah keseluruhan sebanyak AS$402 bilion (RM1.6 trilion)

ELON MUSK

Berdasarkan Indeks Bilionair Bloomberg, Pengasas Tesla, Elon Musk merekodkan kekayaan terkumpul dengan nilai pendapatan bersih AS$277 bilion (RM1.10 trilion).

Pemilik syarikat angkasa lepas, SpaceX itu malah merancang untuk membayar cukai lebih AS$11 bilion (RM44 bilion).

Musk yang memiliki syarikat itu sejak 2002 sudah melancarkan lebih 1,600 satelit termasuk yang terbaru, 18 Disember lalu.

Walaupun pendapatan Musk sebanyak AS$121 bilion (RM484 bilion) yang dilihat lebih kecil berbanding AS$140 bilion (RM560 bilion) pada 2020, jumlah itu tetap mencukupi untuk menjadikan beliau sebagai individu paling kaya di dunia dalam tempoh yang panjang.

JEFF BEZOS

Pesaing terdekat Musk, Jeff Bezos memasuki tahun baharu 2022 dengan aset terkumpul bernilai AS$190 bilion (RM760 bilion). 

Hartawan berusia 57 tahun itu meletakkan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di Amazon, Julai lalu.

Sekarang beliau menghabiskan masa terluang dengan teman wanitanya, Lauren Sanchez.

BERNARD ARNAULT

Tokoh barangan mewah Perancis, Bernard Arnault menjadi satu-satunya jutawan dari luar AS yang berjaya memecahkan senarai 10 teratas Bloomberg 2021 daripada segi jumlah kekayaan.

Arnault merupakan Ketua Pegawai Eksekutif konglomerat LVMH yang memiliki jenama mewah seperti Louis Vuitton, Christian Dior dan Givenchy.

Nilai kekayaannya melonjak kepada AS$176 bilion (RM704 bilion) selepas mengalami keuntungan sebanyak AS$61 bilion (RM244 bilion).

Hartawan berusia 72 tahun itu turut memegang gelaran individu paling kaya di Eropah.

BILL GATES

Pengasas Microsoft, Bill Gates meraikan tahun baharu dengan aset terkumpul AS$139 bilion (RM556 bilion).

 LARRY PAGE & SERGEY BRIN

Pengasas bersama Google, Larry Page mempunyai harta sebanyak AS$130 bilion (RM520 bilion) tahun ini, manakala, rakan sejawatannya, Sergey Brin menikmati kekayaan terkumpul AS$125 bilion (RM500 bilion) hasil keuntungan 2021 sebanyak AS$45 bilion (RM180 bilion).

 MARK ZUCKERGERG

Pendapatan Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg pula bertambah sebanyak AS$25 bilion (RM100 bilion) sekali gus menjadikan jumlah pendapatan keseluruhan sebanyak AS$128 bilion (RM512 bilion). 

STEVE BALLMER

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft dan pemilik Los Angeles Clippers NBA, Steve Ballmer memiliki aset sebanyak AS$122 bilion (RM488 bilion) selepas menjana keuntungan AS$41 bilion (RM164 bilion) bagi 2021.

 LARRY ELLISON

Pengerusi dan Pengasas Oracle, Larry Ellison mengumpul kekayaan berjumlah AS$109 bilion (RM436 bilion). 

WARREN BUFFETT

Niat Ketua Pegawai Eksekutif Berkshire Hathaway, Warren Buffett untuk menyumbangkan sebahagian besar kekayaannya tidak tercapai selepas prestasi saham syarikatnya tidak membantu merealisasikan hasrat murni tersebut.

Hartawan berusia 91 tahun itu bagaimanapun berjaya meraih AS$21 bilion (RM84 bilion) sekali gus menjadikan jumlah pendapatannya sebanyak AS$109 bilion.-BLOOMBERG

 

 

 

 

 503 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.