Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

1,453 ikan laga dipertandingkan di Tuaran

0

SEBANYAK 1,453 ekor ikan laga terdiri seramai 640 peserta dipertandingkan pada Tuaran Betta Show Town Flaring Siri 1 yang diadakan bermula 24 September sehingga 26 September lalu di Jalan Sulaman, Tuaran Driving Range & Cafe.

Acara pertandingan ikan hiasan laga atau lebih dikenali ‘betta’ itu diadakan selama tiga hari menerusi wakil peserta di setiap kawasan membabitkan Sabah, Labuan dan Sarawak.

ROY ARWEEN MOHAMAD

Pengerusi penganjur acara, Roy Arween Mohamad berkata, acara terbabit dianjurkan dengan kerjasama Malaysia Betta Fish Association (MBFA) dan Jabatan Perikanan Sabah.

“Acara julung kali diadakan pihak penganjur di Tuaran merupakan pertandingan ikan hiasan jenis ikan laga yang dinilai mengikut ciri-ciri dan spesifikasi ditetapkan MBFA”.

“Antara contoh, ikan dinilai mengikut bukaan sirip Caudal, Dorsal, Anal, Ventral dan Operculum selain menilai corak, warna dan serta bentuk ikan yang menentukan keunikkan atau kesempurnaan jenis ikan,” katanya ditemui.

Menurutnya, sebanyak 67 kelas atau kategori ikan dibahagikan mengikut jenis ikan yang dinilai tujuh juri dari Sabah dan Semenanjung.

Tambahnya, pertandingan ini juga diadakan bertujuan meningkatkan hobi ikan betta di negeri ini disebabkan haiwan peliharaan ini semakin pesat di semenanjung Malaysia.

“Syukur, program berjaya dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, tiada penonton dan acara ini juga menyediakan seorang wakil bagi setiap kawasan iaitu ‘handler’ untuk membawa ikan peserta”.

“Saya harap, industri ikan laga ini mampu dipertingkatkan ke peringkat lebih tinggi khususnya di Sabah dengan kerjasama sektor awam,” jelasnya.

Sementara itu, peserta, Arlen Andrew Rayner Molikun, 31, yang menetap di Kampung Tambalang Tuaran, berkata, membela ikan laga kini sudah menjadi ‘trend’ dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Hampir setiap minggu pertandingan ikan laga yang dianjurkan mendapat sambutan luar biasa”.

“Suatu ketika dulu, ikan laga hanya dikenali di kawasan padi sawah atau pun paya namun kini ia sudah dibiakkan dengan pelbagai jenis induk dari pelbagai negara serta menjadi  pilihan sebagai haiwan peliharaan kerana keunikan fizikal dan warnanya,” katanya.

Menurutnya yang juga penternak ikan laga, ada yang sanggup membelanjakan sehingga ribuan ringgit untuk mendapatkan ikan laga yang bergred tinggi.

“Bagaimanapun bagi yang baru dalam bidang ini, ia tidak mudah menangani penjagaan ikan laga kerana boleh menyebabkan ia mudah sakit dan mati,” ujarnya. – Oleh: JOHARY INDAN

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.