Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

3,000 liter arak dibuang dalam parit

0

SEPASUKAN ejen perisikan Afghanistan dilaporkan membuang kira-kira 3,000 liter minuman keras ke dalam sebuah parit di Kabul.

Perkara itu dimaklumkan oleh agensi perisikan Afghanistan ketika pihak berkuasa Taliban berusaha membanteras penjualan minuman keras di negara tersebut.

Satu rakaman video yang didedahkan oleh Direktorat Perisikan Am (GDI) menunjukkan sepasukan ejen perisiknya membuang arak yang disimpan dalam beberapa tong ke dalam parit.

Tong tersebut dirampas dalam satu operasi serbuan yang dijalankan di ibu negara.

“Penduduk Islam tidak harus menghasilkan dan mengedarkan minuman keras,” kata seorang pegawai perisikan dalam rakaman video yang dimuat naik di Twitter.

Setakat ini, tidak dapat dipastikan bila operasi serbuan itu dilakukan mahupun minuman keras itu dibuang.

Namun, satu kenyataan dikeluarkan oleh agensi perisikan menyatakan tiga individu ditahan dalam operasi serbuan tersebut.

Aktiviti penjualan dan penggunaan alkohol turut dilarang di bawah pemerintahan kerajaan sebelum ini.

Namun, kerajaan baharu dibawah pimpinan kumpulan Taliban lebih tegas dalam menentangnya.

Sejak Taliban mengambil alih Afghanistan 15 Ogos tahun lalu, kekerapan operasi serbuan termasuk terhadap penagih dadah semakin meningkat di seluruh negara.– AFP

 

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.