SEORANG warga emas di Kediri (Jawa Timur, Indonesia) tular dalam media sosial selepas menjadi mangsa penipuan dari seorang individu yang berpura-pura sebagai pembeli dengan membawa lari kambingnya.
Lapor Kompas.com, Kartimin, 78, yang berasal dari Dusun Karanglo, Ngadiluwih dijanjikan sejuta rupiah (RM292) bagi urus niaga tersebut.
Namun, selepas membawa kambing untuk dijual di pasar haiwan di Ngadiluwih, pembeli tersebut menghilangkan diri.
Rupa-rupanya rezeki tidak pernah salah alamat apabila warga maya bersimpati dan tergerak hati membantu warga emas itu sehingga dia memperoleh sumbangan sebanyak 10 juta rupiah (RM2,925).
Usaha mengumpulkan sumbangan itu dilakukan oleh Fatimah yang merupakan seorang bidan di Blitar.
Dalam masa dua hari, sumbangan yang dikumpulkan sudah mencecah 10 juta rupiah.
Sementara itu, cucu mangsa, Deni Pitwanto berterima kasih kepada orang ramai yang sanggup mengumpulkan dana bagi membantu datuknya.
Katanya, datuknya hanya tinggal berdua bersama neneknya, manakala, lima anaknya yang lain tinggal di rumah masing-masing.
“Datuk saya adalah seorang individu yang berdikari dan tidak ingin menyusahkan orang lain dan memelihara kambing untuk mengisi aktiviti hariannya,” katanya.