Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

4 angkasawan tiba di ISS selepas kru terdahulu pulang awal

0

 

Roket SpaceX Falcon 9 dan kapal angkasa Dragon berlepas membawa misi Kru 12 NASA ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS). – REUTERS

NEW YORK: Empat angkasawan tiba di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selepas Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) membawa pulang kru terdahulu lebih awal disebabkan masalah perubatan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Keempat-empat angkasawan Kru 12 mendarat di ISS menggunakan kenderaan angkasa SpaceX Crew Dragon, menurut imej langsung yang dikeluarkan NASA pada Sabtu. Mereka berlepas dari Cape Canaveral, Florida pada Jumaat.

Kru 12 terdiri daripada angkasawan NASA, Jessica Meir dan rakan sekerjanya, Jack Hathaway; angkasawan Russia, Andrey Fedyaev serta angkasawan Perancis, Sophie Adenot dari Agensi Angkasa Eropah (ESA).

Ia misi pertama ke ISS bagi Hathaway dan Adenot serta penerbangan kedua bagi Meir dan Fedyaev. Kumpulan kru ini dijangka menghabiskan kira-kira lapan bulan tinggal dan menjalankan penyelidikan di stesen angkasa terbabit.

Pada pertengahan Januari, Kru 11 – angkasawan Amerika Syarikat (AS), Zena Cardman dan Michael Fincke; angkasawan Jepun; Kimiya Yui dan angkasawan Russia, Oleg Platonov pulang ke Bumi lebih awal kerana masalah perubatan.

Ini kali pertama kejadian seumpamanya berlaku dalam sejarah stesen itu. NASA tidak mendedahkan butiran masalah terbabit atau anggota kru yang terjejas.

Satu penyerahan tugas antara kedua-dua kru pada asalnya dirancang seperti amalan biasa di ISS.

Sebaliknya, angkasawan NASA, Christopher Williams dan angkasawan Russia, Sergei Mikaev serta Sergey Kud-Sverchkov kekal di stesen dalam beberapa minggu kebelakangan bagi memastikan operasi berjalan lancar.

Kru antarabangsa telah tinggal dan menjalankan penyelidikan di stesen angkasa itu secara berterusan selama kira-kira 25 tahun.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.