
EXICO CITY: Pemantauan dan risikan membabitkan teman wanita raja dadah yang berpengaruh, Nemesio ‘El Mencho’ Oseguera membantu tentera Mexico menjejaki dan kemudian membawa kepada penahanannya.
Setiausaha Pertahanan Mexico, Jeneral Ricardo Trevilla, berkata operasi pasukan khas Mexico pada Ahad lalu yang turut menggunakan maklumat risikan Amerika Syarikat (AS), berjaya menemui penjenayah itu yang ‘bersembunyi di celah semak’ di negeri asalnya, Jalisco.
Beliau berkata, penyiasat tentera mengenal pasti dan mula mengikuti kenalan dipercayai teman wanita raja dadah terbabit.
Operasi dilancarkan selepas risikan tentera mengesan rancangan wanita suspek untuk bertemunya di Tapalpa, kira-kira 130 kilometer dari Guadalajara, Jalisco.
Wanita itu dibawa ke sebuah rumah oleh sekutu dipercayai sebelum bertemu Oseguera pada Sabtu dan meninggalkannya bersama pengawal keselamatan.
Individu ini mengiringi wanita terbabit ke Tapalpa, Jalisco, pada Jumaat untuk menghadiri pertemuan dengan ketua dadah itu.
Pasukan keselamatan kemudian melancarkan serbuan darat dan udara selepas mengesahkan lokasi persembunyian suspek yang dikehendaki atas kesalahan jenayah terancang dan pemilikan senjata api.
Pegawai tentera itu menjelaskan bahawa lokasi tepat disahkan melalui maklumat tambahan yang sangat penting diberikan perisik AS.
Secara keseluruhan, lebih 70 orang maut dalam operasi itu termasuk anggota keselamatan dan suspek ahli kartel.
Sebelum ini, lelaki itu dikehendaki dengan ganjaran AS$15 juta (kira-kira RM66 juta) untuk penangkapannya.
Lelaki bersenjata yang membalas serangan pihak berkuasa menyekat lebih 20 jalan raya di negeri barat Jalisco, termasuk Tapalpa, dengan kereta dan trak yang terbakar.
Keganasan itu juga merebak ke negeri lain.
Ahad lalu, tentera Mexico mengumumkan membunuh raja dadah berpengaruh itu dalam satu operasi yang mencetuskan gelombang keganasan di negara itu.
Oseguera yang ketua Kartel Generasi Baharu Jalisco berusia 59 tahun, cedera dalam pertempuran dengan askar di bandar Tapalpa, di Jalisco sebelum disahkan meninggal dunia semasa diterbangkan ke bandar Mexico.
![]()