Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

UPKO desak siasatan video hina etnik Sabah dan Batu Sumpah Keningau

0

PUTRAJAYA, 29 Ogos 2025  – Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) hari ini menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera menyiasat penyebaran sebuah video tular yang menghina masyarakat pribumi Sabah serta memutarbelitkan fakta sejarah Batu Sumpah Keningau – simbol penting dalam pembentukan Malaysia.

Setiausaha Politik kepada Presiden UPKO, Carl Moosom, berkata video berdurasi 1 minit 26 saat itu mengandungi unsur penghinaan yang keterlaluan terhadap etnik Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR), sekali gus berpotensi menanam sentimen kebencian yang membahayakan keharmonian negara.

“UPKO menuntut agar MCMC mengenal pasti dalang yang bertanggungjawab menerbitkan video ini. Tindakan tegas mesti diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan kebencian kaum serta mengganggu kestabilan sosial,” katanya dalam satu kenyataan.

Carl turut menggesa MCMC memastikan video berkenaan diturunkan serta-merta daripada semua platform media sosial termasuk WhatsApp, TikTok, Facebook dan Instagram, bagi mengelakkan penularan lebih meluas.

Beliau menegaskan bahawa UPKO tidak akan berkompromi dengan sebarang usaha yang merendahkan martabat masyarakat KDMR atau mencabar simbol sejarah negeri itu.

“Batu Sumpah Keningau bukan sekadar batu peringatan. Ia adalah ikrar dan janji bersejarah berkaitan hak serta autonomi rakyat Sabah, khususnya dalam soal agama, ketika pembentukan Malaysia. Ia lambang maruah dan perjanjian politik yang tidak boleh diputarbelitkan,” tegasnya.

Pegawai Khas kepada Presiden UPKO, Billy Joe Dominic, turut hadir membuat laporan rasmi mengenai isu tersebut.

UPKO menegaskan, percubaan mempermainkan identiti etnik serta menyeleweng fakta sejarah seperti ini merupakan perbuatan yang berbahaya, boleh menggugat perpaduan negara, dan wajar dikenakan tindakan keras oleh pihak berkuasa.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.