Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Ahli Parlimen Thailand dihukum penjara 2 tahun kerana hina Raja

0

BANGKOK: Mahkamah Thailand menjatuhkan hukuman penjara dua tahun kepada Ahli Parlimen pembangkang, Chonthicha ‘Lookkate’ Jangrew, atas kesalahan ‘lese-majeste’ atau menghina monarki, hari ini.

Bagaimanapun, peguamnya, Marisa Pidsaya, berkata Chonthicha menafikan pertuduhan itu dan akan memfailkan rayuan.

Hukuman itu dibuat hanya beberapa hari selepas Chonthicha, 31, dinamakan dalam senarai global 2024 Pemimpin Generasi Seterusnya oleh majalah Time.

Dia didakwa melakukan fitnah Diraja di bawah Seksyen 112 Kanun Jenayah kerana komen yang dibuatnya semasa perhimpunan di hadapan Mahkamah Wilayah Thanyaburi di Pathum Thani pada 11 September 2021.

Chonthicha, yang juga pengasas bersama Pergerakan Demokrasi Baru, sudah menjadi aktivis terkemuka sejak rampasan kuasa tentera pada 2014.

Malah, dia adalah antara 14 pelajar yang ditahan kerana mengadakan acara untuk menandakan ulang tahun pertama rampasan kuasa 2014 pada 22 Mei 2015, dan kemudian ditahan selama 12 hari.

“Saya harus mengatakan bahawa saya tidak pernah terfikir untuk menjadi ahli politik sama sekali.

“(Tetapi) saya sedar satu perkara iaitu jika kita mahu bersuara, kita tidak boleh hanya membuat perubahan di jalanan.

“Kita juga perlu berkuasa dan menggunakan kuasa ini untuk membuat perubahan bagi membina masyarakat yang kita mahu lihat,” katanya kepada majalah Time.

Chonthicha adalah seorang daripada tiga Ahli Parlimen parti pembangkang utama yang menghadapi tuduhan fitnah Diraja.

Selain itu, Ahli Parlimen Bangkok, Rukchanok Srinork, dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada Disember 2023 tanpa pengurangan, atas kesalahan ‘lese-majeste’ dan jenayah komputer berhubung komen dalam talian yang dibuatnya antara 18 Julai dan 9 Ogos 2021.

Bagaimanapun, dia kini bebas dengan ikat jamin sementara membuat rayuan.

Seorang lagi Ahli Parlimen Bangkok, Piyarat ‘Toto’ Jongthep, menghadapi tiga pertuduhan di bawah Seksyen 112 berhubung aktivitinya sebagai ketua pengawal WeVo semasa protes antikerajaan pada 2020 dan 2021.

Menurut data dari Thai Lawyers for Human Rights, sehingga 30 April tahun ini, seramai 1,954 orang didakwa atas penyertaan dan luahan suara politik sejak permulaan protes Free Youth pada Julai 2020.

Sekurang-kurangnya 272 orang berdepan pertuduhan ‘lese-majeste’ di bawah Seksyen 112 Akta Kanun Jenayah dan 152 telah didakwa dengan hasutan di bawah Seksyen 116. – AGENSI

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.