Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Akademi SAFA Akan Diperluaskan Ke Peringkat Zon Daerah

Pelatih bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun itu akan turut diwujudkan di peringkat zon persatuan itu dan seterusnya ke daerah-daerah

0

Oleh DG HENRY

KOTA KINABALU (Sabah, Malaysia): Akademi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) akan diperluaskan ke peringkat lapan zon persatuan itu yang membabitkan 32 daerah di seluruh negeri.

AZMAN

Pengarah akademi tersebut, Azman Mastar hari ini, berkata, sebaik sahaja ia dilancarkan minggu depan, akademi yang melibatkan pelatih bawah 12 tahun, 14 tahun dan 16 tahun itu akan turut diwujudkan di peringkat zon persatuan itu dan seterusnya ke daerah-daerah.

“Kita melancarkan akademi bola sepak ini di ibu negeri namun SAFA akan memperluaskan di semua zon yang membabitkan 32 daerah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Azman yang juga Penolong Setiausaha Agung SAFA memberitahu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir Shahelmy Yahya akan menyempurnakan majlis pelancaran akademi tersebut di padang SAFA pada 11 Mac ini.

Menurutnya, perancangan untuk mewujudkan akademi berkenaan dibuat susulan kerjasama di antara Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jabatan Pendidikan Negeri sebelum ini.

“SAFA telah menandatangani memorandum persefahaman dengan MSN dan Jabatan Pendidikan untuk menjayakan program pembangunan bola sepak di negeri ini. Hasil daripada itu, SAFA telah memutuskan untuk mewujudkan akademi ini untuk pembangunan bola sepak jangka masa panjang,” tegasnya.

Pengarah akademi itu juga mengumumkan pelantikan tiga bekas pemain kebangsaan, Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan sebagai ikon pelatih-pelatih tiga kategori umur tersebut.

Katanya, James menjadi ikon B16 akademi itu, Hassan (B14) dan Matlan (B12).

Pemilihan ketiga-tiga pemain legenda itu sebagai sebahagian usaha SAFA untuk mengenangkan jasa mereka dalam bola sepak di Sabah dan negara, ujar Azman.

James dan Hassan merupakan gandingan mantap yang membawa kejayaan kepada skuad negara untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik pada tahun 1980 selepas menewaskan Korea Selatan 2-1.

Manakala Matlan pernah menjadi ketua pasukan skuad kebangsaan ketika menentang pasukan England dalam satu perlawanan persahabatan yang berkesudahan 2-4 pada 1991, menyaksikan Matlan menjaringkan kedua-dua gol Malaysia.

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.