KUCHING (Sarawak): Bank Rakyat dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak menyalurkan sumbangan berjumlah RM100,000 bagi memanfaatkan 1,000 orang pelajar daripada 45 buah sekolah menerusi Program Jangkauan Komuniti Madani Bank Rakyat: Kembali Ke Sekolah di Sarawak.
Bank berkenaan dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini yang melibatkan pelajar-pelajar kurang berkemampuan di sekitar Daerah Kuching, Lundu, Bau dan Padawan ini bertujuan untuk memberikan keceriaan kepada mereka bagi memulakan sesi persekolahan yang bakal bermula tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick dalam ucapannya berkata, beliau amat menyokong dan menggalakkan lebih banyak inisiatif yang melibatkan kerjasama antara sektor awam, swasta dan masyarakat dalam membantu meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam memastikan tiada seorang pun golongan yang tercicir daripada menerima pendidikan yang berkualiti.
“Sehubungan dengan itu, tahniah dan syabas saya ucapkan kepada pihak Lembaga Pengarah dan Pengurusan Bank Rakyat atas pelaksanaan program ini yang mencerminkan komitmen tinggi Bank Rakyat dalam memberi sumbangan positif kepada masyarakat yang memerlukan termasuk di kawasan luar bandar,” kata YB Datuk Ewon.
Pada masa yang sama, Bank Rakyat turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Rumah Kanak-Kanak Toh Puan Hajah Norkiah sebagai sebahagian daripada usahanya untuk membantu memastikan kebajikan kanak-kanak ini terus terpelihara.
Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak berkata, inisiatif ini bukan hanya untuk menyalurkan sumbangan dari segi material, tetapi untuk mengangkat martabat golongan yang memerlukan dan memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan dalam perjalanan menuju kejayaan.
“Melangkah ke hadapan, Bank Rakyat akan terus memastikan setiap program dan inisiatif kami memberi manfaat yang berpanjangan kepada rakyat Malaysia. Kami percaya bahawa dengan mendukung nilai-nilai tanggungjawab sosial ini, kami dapat membantu membina masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya saing,” tambah Datuk Mohd Irwan.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Tuan Haji Zamzaitul Akmal Hisham Ahmad merakamkan penghargaan kepada Bank Rakyat atas keprihatinan Bank tersebut dalam membantu memperkasa perjalanan pendidikan pelajar yang memerlukan khususnya di luar bandar.
“Sehubungan dengan itu, inisiatif Bank Rakyat pada hari ini merupakan antara usaha yang signifikan, bukan sahaja dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak yang masih bersekolah, tetapi juga terhadap perkembangan pendidikan pelajar,” ujar beliau.