LAHAD DATU (Sabah, Malaysia): Demi anak, seorang ayah sanggup bergadai nyawa untuk menyelamatkan anaknya yang sedang dibaham buaya.
Kejadian yang berlaku berhampiran Markas Pasukan Khas (PPM) Lahad Datu itu menyaksikan kanak-kanak yang berumur setahun itu hilang sehingga kini, sementara ayah mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan beberapa bahagian di badan.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, bapa mangsa yang sedang mendayung sampan cuba menyelamatkan anaknya yang diserang buaya namun, gagal berbuat demikian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, lelaki berusia 45 tahun itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan dan kepala akibat kesan gigitan buaya.
Mangsa yang dikenali sebagai Morehat yang mengalami cedera parah kini dirawat di Hospital Lahad Datu.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10.25 pagi serta sepasukan enam pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Mangsa adalah seorang lelaki Palauh bersama anaknya yang dipercayai diserang buaya ketika mendayung sampan di lokasi.
“Lelaki dewasa itu berjaya diselamatkan orang awam namun mengalami cedera parah akibat serangan hidupan liar tersebutn,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, kanak-kanak tersebut masih belum ditemukan dan operasi bagi mengesan mangsa masih berjalan.