Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Barat andaikan Putin mungkin gagal tawan Kyiv

0

KYIV: Pasukan tentera Rusia didakwa berdepan dengan situasi luar jangka apabila usaha negara itu menawan Kyiv dalam tempoh terdekat gagal apabila tentera Ukraine memberi tentangan hebat.

Peperangan yang masuk hari keempat semalam menyaksikan pasukan tentera Rusia meningkatkan serangan dari semua arah dengan bahagian selatan Kyiv didakwa sudah ditawan.

Media tempatan dan Barat melaporkan, Rusia berdepan dengan situasi yang tidak dijangka apabila tentera negara ini berjuang habis-habisan menentang kemaraan mereka.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 240 penduduk dan anggota tentera Ukraine, termasuk kanak-kanak terkorban akibat peperangan yang berlaku, manakala lebih 1,000 cedera.

Ukraine pula mendakwa pasukan tenteranya berjaya menewaskan 3,500 askar Rusia, selain memusnahkan 80 kereta kebal, 516 kenderaan berperisai, 10 pesawat perang dan tujuh helikopter milik Moscow.

Di sebalik kesukaran itu, Moscow memaklumkan tenteranya sudah menawan bandar Kherson di selatan serta Berdyansk di tenggara Ukraine dan kini memasuki Kharkiv.

PUTIN TERKEJUT, GERAM?

Bekas Ketua Pertahanan Estonia, Riho Terras menyifatkan Putin ketika ini dalam keadaan ‘tekejut dan geram’ kerana tidak menyangka serangan balas yang ditunjukkan tentera Ukraine.

Menerusi Twitter, Terras berkata, Putin mungkin beranggapan peperangan ini terlalu mudah untuk dimenangi dalam tempoh hanya satu hingga empat hari.

“Namun, telahannya salah kerana Rusia baru sahaja berdepan dengan tentangan yang hebat daripada tentera Ukraine.

“Mereka (Rusia) pasti tidak menjangkakan keadaan ini, namun itulah yang perlu Moscow lalui,” tulisnya.

Terras juga mendakwa, kegagalan tentera Rusia untuk mara dalam tempoh segera juga disebabkan oleh negara itu gagal menyusun pelan taktikal.

Selain itu, Rusia juga gagal mencetuskan ‘panik secara besar-besaran dalam kalangan penduduk Ukraine’, malah Presiden Volodymyr Zelensky turut kekal bersama rakyatnya menentang pencerobohan Rusia.

RUSIA BAKAL HILANG 50,000 TENTERA

Dalam pada itu, Putin didakwa sudah ‘bersedia untuk kehilangan 50,000 anggota tenteranya’ dalam peperangan dengan Ukraine.

Sekumpulan ketua ejen perisikan percaya Putin sanggup ‘mengorbankan’ puluhan ribu tenteranya untuk memenangi peperangan di Ukraine.

Pemimpin Rusia juga turut dijangka menggunakan senjata kimia dan menyerang hospital di seluruh Ukraine untuk ‘merancakkan serangan’.

Pakar senjata Britain, Hamish de Bretton-Gordon bercakap kepada The Mirror, Rusia tidak teragak-agak untuk menggunakan senjata kimia sekiranya mereka berasa peluang untuk memenangi peperangan ini semakin tipis.

“Rusia akan lakukan apa sahaja untuk memenangi peperangan ini, termasuk menggunakan senjata kimia jika mereka beranggapan itu merupakan jalan terbaik,” ujarnya.

PUTIN TIDAK AKAN MENANG

Ketua agensi perisikan asing Britain, MI6 percaya Rusia tidak akan menang peperangan yang berlaku ketika ini kerana Putin terlalu memandang rendah kemampuan Ukraine.

Richard Moore menegaskan, misi Putin di Ukraine akan menemukan kegagalan dan bukanlah mudah seperti yang dijangkakan Rusia sebelum ini.

Menerusi satu laporan Moore berkata, Putin mungkin boleh menang peperangan di Ukraine berdasarkan kekuatan anggota tentera dan aset yang dimilikinya.

Namun, pemimpin itu tidak akan berjaya memenangi hati penduduk Ukraine dan perkara itu menyebabkan Rusia selamanya tidak akan berjaya mengukuhkan kuasanya di Ukraine.

“Biarpun kerajaan Ukraine hilang kawalan, penduduknya melarikan diri dan tentera negara itu mula lumpuh, situasi tersebut tetap tidak menunjukkan Rusia sudah memenangi peperangan ini.

“Apa yang dirancang oleh Kremlin sebelum ini tidak akan menjadi kenyataan kerana Rusia sesekali tidak menyangka serangan balas yang diberikan oleh Ukraine,” jelasnya.

RISIKO PENCEMARAN RADIASI

Serangan peluru berpandu tentera Rusia dilaporkan mengenai tapak pelupusan sisa nuklear di luar Kyiv semalam, sekali gus didakwa memusnahkan peralatan yang boleh mengesan kebocoran bahan radioaktif.

Berdasarkan laporan dari laman web berita Ukraine, BNO, serangan itu mengenai tapak pelupusan sisa radioaktif Radon.

Agensi berita itu memaklumkan ‘tiada bukti kebocoran radioaktif berlaku’, namun menyatakan sistem pemantauan automatiknya gagal berfungsi, sekali gus mencetuskan risiko berlakunya pencemaran radiasi pada bila-bila masa.

Laporan itu juga memaklumkan, penilaian awal mendapati tiada ancaman pencemaran radioaktif, namun pemeriksaan akan dilakukan dari semasa ke semasa. – AFP/AGENSI

 

 

 436 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.