Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Bekas Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad daftar calon pilihan raya

0

TEHRAN: Bekas Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, telah mendaftar untuk bertanding pada Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung 28 Jun depan.

Pilihan raya itu diadakan berikutan kematian Presiden Ebrahim Raisi akibat nahas helikopter pada 19 Mei lalu yang turut mengorbankan sejumlah pegawai dalam rombongannya termasuk Menteri Luar Iran, Hossein Amirabdollahian.

“Saya yakin semua masalah Iran boleh diselesaikan dengan memanfaatkan sepenuhnya kapasiti negara,” kata Ahmadinejad pada sidang media selepas mengemukakan pencalonan beliau di Kementerian Dalam Negeri di Tehran, hari ini.

Pendaftaran calon bagi pemilihan kali ini dibuka sejak Khamis lalu dan dijadualkan tutup, esok, dengan antara tokoh lain turut terbabit ialah bekas Speaker Parlimen, Ali Larijani, serta bekas perunding nuklear, Saeed Jalili.

Majlis Pengawal yang diterajui ulama Iran, akan melakukan saringan terhadap calon sebelum mengeluarkan senarai pada 11 Jun ini bagi menentukan mereka yang layak bertanding pada pemilihan itu.

Ahmadinejad, 67, yang juga bekas anggota Pengawal Revolusi Iran, kali pertama dilantik sebagai Presiden pada 2005 dan memegang jawatan terbabit selama dua penggal berturut-turut hingga 2013 sebelum dikekang faktor had penggal pemerintahan.

Majlis Pengawal kemudian melarang Ahmadinejad bertanding pada pilihan raya 2017 – setahun selepas Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, memberi amaran kepada beliau bahawa ‘penyertaan bukan untuk kepentingan dirinya tetapi adalah demi negara.’

Pergeseran antara dua pemimpin terbabit semakin tegang apabila Ahmadinejad secara terang-terangan menggesa supaya semakan dilakukan terhadap kuasa muktamad Khamenei.

Pada 2018, dalam kritikan ditujukan terhadap Khamenei yang jarang berlaku, Ahmadinejad menulis kepada Pemimpin Agung itu untuk mendesak supaya ‘pilihan raya bebas’ diadakan.

Sebelum itu, Khamenei menyokong Ahmadinejad apabila pemilihan semula beliau pada 2009 mencetuskan bantahan yang menyaksikan berpuluh-puluh maut dan ratusan lagi ditahan, sebelum pasukan keselamatan diketuai Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengambil tindakan menghentikan pergolakan berkenaan.

Ahmadinejad juga gagal memasuki senarai calon layak bertanding jawatan Presiden Iran pada pilihan raya 2021. – AGENSI

 

Loading

Leave A Reply

Your email address will not be published.