Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Brazil kesan selsema burung, isytihar darurat kesihatan haiwan

0

SAO PAULO: Kerajaan Brazil mengisytiharkan darurat kesihatan haiwan selama 180 hari selepas negara itu mengesan kes pertama virus influenza burung pada haiwan liar.

Perintah darurat kesihatan yang ditandatangani Menteri Pertanian Brazil, Carlos Favaro itu adalah berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia.

Namun, jangkitan sub jenis selesema burung H5N1 pada burung liar tidak mencetuskan larangan perdagangan haiwan ternakan komersial.

Satu kes selesema burung di sesebuah ladang pada kebiasaannya menyebabkan keseluruhan kawanan haiwan itu dibunuh dan menyebabkan sekatan perdagangan daripada negara pengimport.

Brazil merupakan pengeksport daging ayam terbesar dunia dengan nilai jualan berjumlah AS$9.7 bilion (RM44.1 bilion) tahun lalu.

Setakat ini, Brazil merekodkan lima kes H5N1 yang dikesan pada burung liar, termasuk empat di Espirito Santo dan satu di Rio de Janeiro.

Meskipun negeri pengeluar daging utama Brazil terletak di selatan, kerajaan negara itu kini dalam keadaan berjaga-jaga selepas kes berkenaan dikesan.

Ini kerana kes selesema burung dalam kalangan burung liar di negara lain kebiasaannya disusuli dengan jangkitan pada haiwan ternakan komersial.

Saham syarikat pengeksport ayam terbesar dunia berpusat di Brazil, BRF SA, melonjak 3.6 peratus sebelum pengumuman darurat itu, namun kemudian susut 0.5 peratus lebih rendah selepas pengisytiharan berkenaan.

Sepanjang minggu lalu, Kementerian Kesihatan Brazil mengambil sampel daripada 33 individu disyaki dijangkiti selesema burung di Espirito Santo, namun semuanya didapati negatif subjenis H5N1, manakala dua lagi kes terbaru sedang disiasat. – REUTERS

 

 474 total views,  2 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.