Akhbar Atas Talian No 1 Borneo

Penampakan UFO jejas jadual penerbangan di Taiwan

0

TAIPEI: Objek terbang tidak dikenal pasti (UFO) yang dilaporkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, Taiwan mengganggu penerbangan dan menjejaskan lebih 1,000 penumpang pagi semalam, menurut pengendali lapangan terbang itu.

Operasi penerbangan masuk dan keluar di Taiwan Taoyuan International Airport Co. (TIAC) yang juga pintu masuk utama negara itu dihentikan selepas objek itu dikesan oleh juruterbang China Airlines.

Penutupan berlangsung selama kira-kira 40 minit dan trafik udara disambung semula pada kira-kira 10.10 pagi, menurut TIAC.

Penutupan landasan menjejaskan tujuh penerbangan.

Pendaratan penerbangan MM23 Peach Aviation dan penerbangan Z2124 AirAsia ditangguhkan selain pelepasan pesawat BR712 EVA Airways, JX850 StarLux Airlines dan AK1511 AirAsia dengan jumlah penumpang keseluruhan 919, kata TIAC.

Dua penerbangan lain, CX488 Cathay Pacific dan MF887 Xiamen Airlines yang dijadual mendarat, diarahkan ke Lapangan Terbang Kaohsiung yang menjejaskan 280 penumpang, kata TIAC.

TIAC berkata pihak berkuasa lapangan terbang tidak dapat mengenal pasti objek terbang itu kerana ia hanya dilihat oleh seorang juruterbang, namun mereka tidak menolak kemungkinan objek itu adalah dron.

Mereka yang terbabit dalam aktiviti dron tanpa kebenaran di kawasan larangan di lapangan terbang boleh didenda antara NT$300,000 (AS$9,780) hingga NT$1.5 juta, menurut TIAC memetik Akta Penerbangan Awam.

 

 240 total views,  1 views today

Leave A Reply

Your email address will not be published.