QUITO: Calon presiden Ecuador, Fernando Villavicencio ditembak mati dalam insiden mengejutkan ketika sedang berkempen di ibu negara Quito semalam.
Akhbar utama negara, El Universo melaporkan, calon itu meninggal dunia selepas terkena tiga das tembakan di kepala yang dipercayai angkara pembunuh upahan.
Video kejadian tersebut yang disiarkan di media sosial menunjukkan Villavicencio berjalan keluar dari acara kempen itu dengan dikelilingi oleh pengawal menuju masuk ke sebuah trak putih.
Keadaan kemudian bertukar huru-selepas tembakan dilepaskan ke arah Villavicencio dengan orang-ramai mula menjerit dan berlari menyelamatkan diri di bangunan berhampiran.
Pejabat Peguam Negara Ecuador berkata, suspek pembunuhan Villavicencio turut meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami semasa berbalas tembakan dengan pegawai keselamatan.
“Seorang suspek yang cedera parah semasa berbalas tembakan dengan anggota keselamatan, ditahan dan dipindahkan ke unit Peguam Negara di Quito.
“Ambulans dan pasukan bomba yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan kematian suspek. Pasukan polis kini sedang meneruskan proses pengambilan mayat itu,” kata badan itu di media sosial.
Sembilan orang turut cedera ketika serangan itu, termasuk seorang calon badan perundangan dan dua pegawai polis.
Penasihat Kempen Villavicencio, Patricio Zuquilanda berkata, bekas ahli Parlimen berusia 59 tahun itu pernah membuat laporan polis kerana menerima ugutan bunuh.
Villavicencio yang berasal dari wilayah Andes Chimborazo adalah salah seorang daripada lapan calon presiden yang bakal bertanding dalam pilihan raya pada 20 Ogos ini.
Villavicencio adalah bekas ahli kesatuan di syarikat minyak negara Petroecuador dan kemudiannya menjadi seorang wartawan yang mengecam dakwaan kerugian berjuta-juta kontrak minyak.
Presiden, Guillermo Lasso mengecam pembunuhan itu dan memaklumkan akan mengadakan mesyuarat tergempar bersama pegawai keselamatan tertinggi berhubung situasi semasa.